EcoFirst beli dua bidang tanah bernilai RM45 juta di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoFirst beli dua bidang tanah bernilai RM45 juta di Pulau Pinang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – EcoFirst menerusi dua anak syarikat milik penuhnya, EcoFirst Homes Sdn Bhd dan EcoFirst Living Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bagi memperoleh dua bidang tanah pegangan bebas di Pulau Pinang berharga RM45 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata perjanjian tersebut dimeterai pada 30 Januari 2026 melibatkan pembelian tanah daripada Prisma Bumiraya Sdn Bhd (dalam pembubaran) dan Akasia Dimensi Sdn Bhd.

 

“Tanah pertama dikenali sebagai Bolden Land, terletak di Daerah Barat Daya Pulau Pinang dengan keluasan kira-kira 1.26 ekar, akan dibeli oleh EcoFirst Homes pada harga RM20 juta.

 

“Tanah ini akan dibangunkan sebagai projek kondominium moden dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM163 juta.

 

“Sementara itu, EcoFirst Living akan membeli Collins Land seluas kira-kira 13.46 ekar pada harga RM25 juta. Tanah berkenaan terletak kira-kira tiga kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dijangka dibangunkan sebagai projek kondominium mampu milik dengan anggaran GDV RM400 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

EcoFirst berkata, kedua-dua tanah tersebut telah dinilai oleh Henry Butcher Malaysia (Penang) Sdn Bhd dengan nilai pasaran keseluruhan RM49 juta, sekali gus membolehkan kumpulan memperoleh tanah berkenaan pada diskaun sekitar 8% berbanding nilai pasaran.

 

Pembayaran harga pembelian akan dibuat secara tunai dan dibiayai melalui gabungan dana dalaman serta pinjaman bank.

 

Menurut EcoFirst, pembangunan di atas Bolden Land dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan, manakala pembangunan Collins Land dijangka bermula pada suku kedua 2027 dengan tempoh pembangunan antara tiga hingga empat tahun.

 

Kumpulan itu berkata pemerolehan tanah berkenaan akan memperkukuh bank tanahnya dan menyediakan pelan pembangunan jangka sederhana, selain mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Lembah Klang dengan mengembangkan operasi ke utara Semenanjung.

 

EcoFirst berkata Pulau Pinang kekal sebagai pasaran hartanah yang kukuh, disokong oleh pertumbuhan sektor elektrik dan elektronik, bekalan tanah yang terhad di pulau serta permintaan berterusan bagi kediaman bertingkat sederhana dan tinggi.

 

Dari segi kesan kewangan, pemerolehan ini tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih atau pegangan saham utama kumpulan dalam jangka masa terdekat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan apabila projek pembangunan mula direalisasikan. - DagangNews.com