Phillip Capital: Untung EG Industries berpotensi naik pada 4QFY26 didorong tempahan produk AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital: Untung EG Industries berpotensi naik pada 4QFY26 didorong tempahan produk AI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Jun – Permintaan luar biasa bagi modul optik berkelajuan tinggi dalam pusat data (DC) dijana kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi pemangkin utama prestasi EG Industries Berhad.

 

Menurut Phillip Capital, perkembangan positif tersebut sekali gus meletakkan syarikat pembuatan berkenaan pada landasan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


Firma itu berkata, peningkatan tempahan, penambahbaikan campuran produk dan kecekapan operasi dijangka memacu pertumbuhan pendapatan lebih kukuh bagi suku keempat tahun kewangan 2026.


"Permintaan terus meningkat daripada pelanggan DC AI dan pengkomputeran awan menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran serta penggunaan kemudahan kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang," jelasnya.


Fasiliti berkenaan ujar Phillip Capital, kini beroperasi pada kadar penggunaan kira-kira 80%, dengan segmen modul optik menunjukkan hasil pengeluaran yang meningkat ketara kepada sebanyak 80%.


Modul optik 800G dijangka menyumbang lebih 90% daripada jumlah pengeluaran pada 4QFY26 berbanding 60% pada suku sebelumnya, manakala segmen fotonik dijangka berkembang seiring peningkatan tempahan.


Bagi memenuhi permintaan pelanggan, EG Industries turut mempercepatkan pelan pengembangan kapasiti menerusi kerja pengubahsuaian tingkat kedua kilang tersebut yang dijadual siap pada Ogos 2026.

 

EG Industries_DagangNews



"Ia akan menempatkan lapan barisan pengeluaran baharu bagi modul 800G serta modul generasi baharu 1.6T dengan pengeluaran besar-besaran dijangka bermula menjelang akhir 2026," kata Phillip Capital.


Selain itu, pelanggan sedia ada turut mengambil dua tingkat ruang pengeluaran kilang di Kedah yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran suis rangkaian sebanyak empat kali ganda menjelang 2027.


Di Thailand, pembinaan kilang baharu dijangka siap akhir 2026 bagi memenuhi permintaan pelanggan Amerika Syarikat (AS) dalam segmen penyimpanan tenaga, kenderaan elektrik (EV) dan komponen DC.


Phillip Capital menjangkakan produk Active Electrical Cable (AEC) dan Direct Attach Cable (DAC) yang kini dalam fasa percubaan akan mula menyumbang kepada pertumbuhan pada separuh pertama FY27.


"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap EG Industries dan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 24 kali unjuran hasil FY27," tambahnya.


Prospek syarikat kekal positif disokong peningkatan pengeluaran modul optik berteknologi tinggi, pertambahan pelanggan baharu serta pertumbuhan pesat industri AI dan pengkomputeran awan global.


Bagaimanapun, antara risiko utama perlu diteliti termasuk kehilangan pelanggan utama, kelewatan pelancaran produk baharu dan tempahan pelanggan yang rendah daripada jangkaan. - DagangNews.com