Dutch Lady lepasi hasil RM1.5 bilion pada FY25, untung bersih 4Q susut kepada RM22.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dutch Lady lepasi hasil RM1.5 bilion pada FY25, untung bersih 4Q susut kepada RM22.8 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Feb – Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY25) apabila hasil meningkat 3.0% kepada RM376.8 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi itu didorong peningkatan jumlah jualan dalam portfolio teras susu cecair, pengembangan berterusan segmen profesional (HORECA) serta momentum positif daripada produk baharu yang dilancarkan.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2025 (FY25), kumpulan merekodkan hasil RM1.5 bilion, meningkat 3.8% berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan pengguna yang berterusan terhadap produk tenusu berkhasiat serta kekuatan dalam saluran runcit dan perkhidmatan makanan.

 

Keuntungan operasi bagi 4QFY25 meningkat 8.9% kepada RM46.7 juta berbanding RM42.9 juta pada 4QFY24, disokong hasil lebih tinggi, harga bahan mentah tenusu yang lebih menggalakkan serta disiplin kos yang lebih kukuh.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi suku tersebut naik 6.9% kepada RM44.3 juta, manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM22.8 juta berbanding RM30.7 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan perbelanjaan cukai lebih tinggi susulan pengiktirafan perbezaan masa sementara yang sebelum ini tidak diiktiraf.

 

Pengarah Urusannya, Veronika Utami berkata, pencapaian hasil melepasi paras RM1.5 bilion mencerminkan kekuatan jenama syarikat serta kepercayaan berterusan rakyat Malaysia terhadap produknya.

 

“Portfolio teras susu cecair kami terus menunjukkan prestasi kukuh, disokong pertumbuhan dalam saluran profesional serta pelaksanaan perniagaan yang berdisiplin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, pengguna kini semakin cenderung kepada pilihan tenusu yang menyokong gaya hidup sihat dan memenuhi keperluan pemakanan khusus, sekali gus mendorong syarikat untuk terus memperkukuh inovasi produk.

 

Antara inisiatif terbaharu ialah pelancaran Dutch Lady Omega 3*6 pada penghujung 2025, susu UHT sedia diminum yang dirumus khas untuk kanak-kanak dengan gabungan Omega 3, 6 dan DHA bagi menyokong pembelajaran serta perkembangan menyeluruh.

 

Utami turut berkata, peralihan berjaya ke fasiliti pembuatan IR4.0 dan Pusat Pengedaran di Bandar Enstek merupakan langkah transformasi penting yang meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.

 

“Pelaburan ini menyediakan kapasiti untuk menyokong pertumbuhan dan inovasi masa hadapan,” katanya.

 

Mengulas prospek, DLMI kekal optimistik secara berhati-hati, disokong permintaan yang berdaya tahan terhadap nutrisi asas serta tumpuan berterusan dalam memperkukuh jenama, memacu inovasi dan meningkatkan kecemerlangan operasi.

 

Syarikat itu menegaskan komitmennya untuk terus menyokong isi rumah Malaysia dengan produk tenusu berkualiti tinggi serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri tenusu tempatan. - DagangNews.com