DutaLand lanjutkan buat kali ketiga tempoh penggunaan RM750 juta hasil jualan aset ladang di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DutaLand lanjutkan buat kali ketiga tempoh penggunaan RM750 juta hasil jualan aset ladang di Sabah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb – Lembaga Pengarah DutaLand Berhad meluluskan lanjutan kali ketiga tempoh penggunaan hasil sebanyak RM750 juta daripada penjualan aset ladang di Sabah pada 2018.


Kumpulan pegangan pelaburan dalam sektor perladangan, hartanah dan pengurusan itu berkata, ia akan digunakan bagi tujuan membiayai perniagaan sedia ada dan kemungkinan perolehan aset baharu.


Hasil penjualan tersebut sebelum ini katanya, sudah diluluskan untuk beberapa perkara, termasuk pengambilalihan perniagaan, pengagihan tunai kepada pemegang saham dan kos berkaitan transaksi.


"Sehingga kini, baki yang belum digunakan adalah sebanyak RM243.6 juta, yang diperuntukkan khusus bagi membiayai perniagaan sedia ada," kata DutaLand dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 


Sehubungan itu, kumpulan berpangkalan di ibu negara serta ditubuhkan sejak 1967 tersebut menjelaskan, tempoh lanjutan baharu ditetapkan selama 30 bulan lagi bermula dari 26 April 2026.


Menurutnya lagi, tambahan masa ini ialah langkah berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan perdagangan dan risiko geopolitik, memberi syarikat masa menilai peluang pelaburan.


Kumpulan berkenaan jelas DutaLand, bersedia meneroka pelbagai usaha berpotensi yang bersesuaian dan sejajar dengan objektif jangka panjang syarikat serta kepentingan para pemegang sahamnya.


"Pengumuman lanjutan tempoh ini tidak memerlukan sebarang kelulusan pihak berkuasa atau pemegang saham dan tiada kesan ke atas keuntungan, aset bersih atau tahap hutang kumpulan," katanya. 


Sebaliknya, penggunaan hasil jualan tersebut akan terus dilaporkan dalam laporan kewangan suku tahunan dan tahunan syarikat sebagai rujukan kepada pelabur dan masyarakat awam yang berminat.


Lembaga Pengarah DutaLand menegaskan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung berkaitan lanjutan tempoh ini.


Bahkan kata kumpulan tersebut, pihak lembaga menilai yang langkah berkenaan sebagai kepentingan terbaik syarikat dalam jangka sederhana dan panjang. - DagangNews.com