KUALA LUMPUR 3 Feb – MSM Malaysia Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Dr Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat berkuat kuasa 4 Februari 2026.
Dr Mazatul 'Aini yang berusia 53 tahun adalah bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan MSM Malaysia.
Beliau meletakkan jawatan tersebut pada 12 Ogos 2024 untuk menyertai sebuah institusi kewangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MSM berkata Mazatul 'Aini membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan kewangan, transformasi perniagaan dan pengurusan strategik.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai CFO di Cagamas Berhad serta CFO Kumpulan di Proton Holdings Berhad.
“Di Proton, beliau terlibat dalam proses penggabungan dan pengambilalihan termasuk kerjasama strategik dengan Zhejiang Geely Group.
“Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di Aseambankers Malaysia Berhad dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, selain memulakan kerjaya di Arthur Andersen & Co,” kata MSM dalam makluman tersebut.
Mazatul 'Aini merupakan Ahli Bersekutu Akauntan Bertauliah di Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Malaysia.
Selain pengalaman profesional, beliau juga mempunyai pengalaman dalam lembaga pengarah dan tadbir urus korporat, pernah menjadi pengarah bebas dan ahli jawatankuasa audit di beberapa syarikat tersenarai termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad, TH Heavy Engineering Berhad, serta IJN Holdings Sdn. Bhd.
Syarikat menegaskan tiada hubungan keluarga atau konflik kepentingan antara Mazatul 'Aini dengan MSM, dan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam saham syarikat atau subsidiarinya.
Ketika ini, MSM Malaysia tidak mempunyai CEO Kumpulan berikutan peralihan kepimpinan pada awal 2026.
Mazatul 'Aini akan menggantikan Hasni Ahmad yang menamatkan jawatan sebagai CEO Kumpulan pada 31 Disember 2025 selepas tamat tempoh kontraknya.
Hasni sebelum itu berkhidmat sebagai CEO Kumpulan susulan peletakan jawatan Syed Feizal Syed Mohammad pada Julai 2025.
MSM Malaysia merupakan pengeluar utama dalam pasaran gula tempatan, mengendalikan kilang penapisan di Prai dan Johor. - DagangNews.com








