KUALA LUMPUR 20 Feb – Kumpulan D&O Green Technologies Bhd mengekalkan sasaran penggunaan kapasiti purata 65-70% tahun ini walaupun landskap industri automotif China yang mencabar, yang menyumbang lebih 45% kepada pendapatan kumpulan, menurut PublicInvest.
Firma penyelidikan itu berkata, dalam satu laporan menyebut disebabkan persaingan sengit harga pembekal terpaksa menunggu sehingga 300 hari untuk menerima pembayaran daripada pengeluar kereta.
Menurut firma itu lagi, keadaan pasaran pada 4Q2025 berbeza daripada momentum puncak biasa dalam industri global, disebabkan persaingan sengit dan lebihan bekalan versi lama kenderaan elektrik (EV), sekali gus menyebabkan pemotongan harga dan perlahan dalam pengeluaran baharu.
Justeru, PublicInvest menurunkan harga sasaran (TP) saham D&O kepada RM0.54 selepas menyemak semula unjuran pendapatan FY25-27F yang lebih rendah sebanyak 6-28% serta menggunakan gandaan P/E lebih konservatif iaitu 22x.
"Saranan NEUTRAL dikekalkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. D&O dijangka mengumumkan keputusan 4QFY25 pada 25 Februari ini.
Persaingan Pasaran dan Impak Rantaian Bekalan
Menurut PublicInvest, persaingan sengit dalam pasaran automotif China memberi kesan kepada seluruh rantaian bekalan, menyebabkan pembekal terpaksa menunggu sehingga 300 hari untuk menerima pembayaran daripada pengeluar kereta.
Walaupun perang harga mula reda, pengeluar kereta masih mencari cara untuk mengatasi pesaing melalui insentif kewangan dan kelebihan nilai tambah.
Katanya, pihak berkuasa China juga telah mengharamkan pengeluar kereta menjual kenderaan mereka di bawah kos pengeluaran sebenar, sebagai langkah tegas menangani perang harga yang telah melanda pasaran automotif terbesar dunia selama bertahun-tahun.
Pihak berkuasa menggunakan definisi kos pengeluaran yang luas, termasuk kos kilang serta kos pentadbiran, kewangan dan jualan, bagi memastikan harga jualan tidak merugikan pengeluar.
Dalam pada itu, jualan kereta di China pada Januari mencatat penurunan terpantas hampir dua tahun akibat persaingan sengit, pengurangan subsidi kerajaan, permintaan lembut dan peraturan yang lebih ketat.
Jualan kereta menurun 19.5% tahun ke tahun (YoY) kepada 1.4 juta unit, penurunan paling mendadak sejak Februari 2024.
Sektor kenderaan elektrik dan hibrid plug-in (NEV), yang sebelum ini menjadi pemacu utama pertumbuhan industri, turut menyusut 22.9% YoY pada bulan lalu.
Prospek 2026
Menurut PublicInvest, pihak pengurusan menjangka pertumbuhan jualan sebanyak 10% bagi tahun 2026, dipacu oleh segmen lampu LED pintar ambient lighting (+70%), Rear Combination Lights (RCL) Spiceplus 2520 (+20%), sistem infotainment (+15%) dan lampu utama LED (+10%) dengan pasaran utama di China, Kesatuan Eropah, India dan Korea Selatan.
Bagi reka bentuk cip IC, D&O telah menubuhkan pusat di China untuk tujuan kelayakan pelanggan, dengan beberapa pesanan dijangka bermula pada 1Q 2027.
Plant 2, yang khusus untuk perniagaan modul, mencatat peningkatan pemindahan teknologi daripada pelanggan utama, Hirain Beijing, susulan isu tarif tahun lalu.
Walaupun menghadapi kelewatan dan kegagalan mendapatkan pelanggan kedua, pihak pengurusan mensasarkan pulang modal untuk Dominant Technology menjelang akhir 2026.
Dalam perancangan modal, syarikat memperuntukkan RM20 juta bagi menaik taraf mesin, sejajar dengan strategi peningkatan kecekapan operasi dan daya saing jangka panjang. - DagangNews.com








