Dayang raih untung bersih RM36.9 juta bagi 4QFY25, naik 120% susulan nilai ringgit teguh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang raih untung bersih RM36.9 juta bagi 4QFY25, naik 120% susulan nilai ringgit teguh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 FebDayang Enterprise Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM36.91 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, iaitu lonjakan signifikan sebanyak 120%.


Kumpulan tersebut berkata, angka peningkatan secara mendadak berkenaan adalah jauh lebih tinggi berbanding hanya kira-kira RM16.8 juta yang pernah dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.


Situasi itu jelasnya, didorong terutama oleh pengukuhan ringgit berikutan keuntungan pertukaran mata wang asing bersih sebanyak RM0.7 juta daripada kerugian yang mencecah RM29.6 juta sebelum ini. 


"Ini dibantu faktor ketiadaan peruntukan kerugian rosak nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan, sekali gus berjaya mengatasi kesan penurunan hasil syarikat," maklum Dayang kepada Bursa Malaysia.


Pendapatan kumpulan tersebut sebelum suku dalam tinjauan itu, pernah merosot disebabkan pengurangan tempahan kerja dan ketiadaan penyewaan kapal dikendalikan syarikat berkenaan oleh pihak ketiga.


Bagaimanapun hasil susut 33% kepada RM211.13 juta berbanding RM316.67 juta pada suku sama 2024, tetapi keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 38% kepada RM56.69 juta daripada RM41.09 juta.


Sehubungan itu, bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Dayang mencatatkan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM206.15 juta daripada hasil yangberjumlah RM938.07 juta.


"Walaupun kadar penggunaan kapal naik kepada 52% berbanding 48% pada suku tahunan tahun sebelumnya, hasil keseluruhan tetap menurun kerana ketiadaan penyewaan kapal oleh pihak ketiga," katanya.


Justeru jelas kumpulan berkenaan, kapal-kapal tersebut sudah ditempatkan semula ke beberapa wilayah lain yang dikenal pasti berupaya menawarkan kadar sewa harian (DCR) lebih tinggi untuk syarikat. 


Selain itu kata Dayang, penggunaan tongkang kerja penginapan (AWB) yang lebih rendah serta kekurangan tempahan kerja di bawah kontrak penyelenggaraan bahagian atas turut menurunkan hasil.


Melangkah ke 2026, kumpulan tersebut namun masih lagi menyatakan keyakinan tinggi terhadap prospek perniagaan positif dengan baki buku tempahan semasa yang berjumlah kira-kira RM4.8 bilion.


"Syarikat giat melaksanakan tiga kontrak penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta meneroka peluang usahasama mempelbagaikan perniagaan dalam sektor minyak dan gas (O&G)," katanya.


Lembaga Pengarah Dayang turut mengumumkan cadangan dividen interim kedua 7.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dan dibayar pada 12 Mac 2026. - DagangNews.com