KUALA LUMPUR 16 Feb – Dayang Enterprise Holdings Bhd dijangka mencatat prestasi lebih baik pada tahun kewangan 2026 (FY26) dengan pemulihan yang lebih ketara diunjurkan pada FY27, meskipun prospek sektor perkhidmatan huluan minyak dan gas kekal sederhana, kata penganalisis.
Kenanga Research berkata, walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar, kumpulan itu masih mempunyai buku pesanan kukuh berjumlah RM4.8 bilion yang menyokong keterlihatan pendapatan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurutnya, pendapatan dijangka pulih secara berperingkat daripada FY25 memandangkan pelanggan lazimnya meningkatkan pesanan kerja kira-kira dua tahun selepas penganugerahan kontrak payung, dengan kebanyakan pakej utama diberikan pada suku keempat FY24.
Penganalisis berpandangan prestasi FY25 secara operasinya lemah, namun angka yang dicatatkan mengatasi jangkaan pasaran susulan disiplin kos yang baik, daya tahan margin serta sumbangan lebih kukuh daripada item kewangan.
Phillip Capital Research melaporkan pendapatan teras FY25 susut 36% tahun ke tahun kepada RM193 juta, namun melebihi unjurannya sebanyak 113% dan 118% daripada jangkaan konsensus.
Prestasi lebih baik itu didorong margin yang lebih tinggi, perbelanjaan faedah lebih rendah serta pendapatan faedah yang meningkat.
Dari segi hasil, FY25 menyaksikan penurunan ketara sebanyak 36% kepada RM938 juta, berikutan kelembapan dalam perkhidmatan penyelenggaraan topside (TMS) akibat pengurangan pesanan kerja serta kadar penggunaan kapal yang lebih rendah pada 56% berbanding 65% pada 2024.
Kenanga turut menyatakan kelemahan sumbangan daripada segmen TMS dan marin menjadi faktor utama penyusutan hasil tersebut.
Dividen jadi pemangkin sentimen
Di sebalik prestasi operasi yang lemah, pembayaran dividen menjadi pemangkin positif kepada sentimen pelabur.
Dayang mengisytiharkan dividen tujuh sen bagi suku keempat FY25, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 14 sen, melebihi jangkaan penganalisis.
Susulan itu, Kenanga menaik taraf saranan saham kepada “outperform” dan menaikkan harga sasaran kepada RM1.90 daripada RM1.60 selepas melanjutkan penilaian ke FY27 serta menyemak naik andaian pembayaran dividen.
Phillip Capital pula mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran 12 bulan RM2.01, berasaskan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 12 kali bagi pendapatan 2026 yang dikemas kini.
Firma itu bagaimanapun menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 hingga FY27 sebanyak 17% hingga 24% selepas mengambil kira pesanan kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian yang lebih rendah, serta andaian penggunaan kapal yang disemak semula sejajar panduan Aktiviti PETRONAS 2026-2028.
Pada gandaan PE hadapan sekitar 10 kali ketika ini, penganalisis berpendapat kelemahan pendapatan jangka pendek sebahagian besarnya telah diambil kira dalam harga saham, sekali gus menawarkan profil risiko-ganjaran yang menarik bagi pelabur jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com








