KUALA LUMPUR 10 Jun — Chin Well Holdings Berhad memperoleh tiga bidang tanah yang berkeluasan 12.85 hektar di Seberang Perai, Pulau Pinang, dengan harga RM48.41 juta, untuk mengembangkan lagi simpanan tanahnya.
Ia dibeli daripada High Rich Realty Sdn Bhd, yang dikawal Datuk Seri Tiong Chiong Hoo, Kelvin Tiong Yung Yiing, Clara Tiong Siew Ee dan Rosalina Ling Hung Ching melalui Oriental Evermore Sdn Bhd dan Bright World Trading Co Ltd.
Harga tanah tersebut yang ditetapkan pada RM35 sekaki persegi, adalah berdasarkan kepada asas 'seadanya, di mana ada' dengan pemilikan kosong, serta bebas daripada sebarang bebanan dan sekatan ke atas urusan jual beli.
"Usaha ini dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman dan dijangka siap pada separuh kedua 2025. Sehingga akhir Mac 2025, Chin Well memiliki tunai RM103.14 juta dan sifar pinjaman," katanya dalam makluman Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, urus niaga tersebut adalah selari dengan strategi pertumbuhan jangka panjang bagi pemerolehan tanah di pelbagai lokasi utama dengan potensi kukuh untuk peningkatan modal dan pembangunan.
Hartanah berkenaan tambah Chin Well, terletak secara strategik di sepanjang jalan utama, dengan akses mudah ke zon ekonomi utama serta kawasan perindustrian, termasuk Taman Perindustrian Batu Kawan dan Valdor.
"Lokasi tersebut juga tidak jauh daripada Jambatan Kedua Pulau Pinang serta berhampiran dengan kawasan perbandaran terkemuka seperti Simpang Ampat, Bukit Minyak, dan Nibong Tebal," kata kumpulan berkenaan.
Chin Well mencatatkan kerugian bersih RM1.74 juta untuk sembilan bulan pertama FY25, berbanding keuntungan bersih RM5.37 juta setahun lalu, walaupun hasil meningkat kepada RM292.09 juta daripada RM248.33 juta.
Ia menyalahkan kerugian selama tempoh itu berakhir pada 31 Mac 2025 disebabkan persaingan harga produk semakin sengit, kerugian pertukaran asing dan peruntukan bagi penurunan nilai saham yang bergerak perlahan. - DagangNews.com








