Chemlite meterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chemlite meterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — Chemlite Innovation Berhad mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE dan turut memeterai perjanjian bagi taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd.

 

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan terkemuka yang mengkhususkan dalam rawatan kemasan permukaan itu menerusi kenyataan berkata, tawaran awam permulaan (IPO) terdiri daripada terbitan sebanyak 120 juta saham biasa baharu.

 

"Sejumlah 30 juta saham terbitan itu ada disediakan untuk permohonan orang awam warga Malaysia yang layak manakala 21 juta lagi dikhaskan kepada pengarah dan pekerja serta individu telah menyumbang kepada kejayaan syarikat," katanya.
 

Selain itu, sebanyak 54 juta saham terbitan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan/atau terpilih yang dikenal pasti manakala ada 75 juta lagi ditetapkan sendiri oleh pihak kerajaan.
 

Ia terdiri daripada 15 juta saham terbitan dan 60 juta saham tawaran disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (MITI).

 

Kenyataan tersebut menambah, UOB Kay Hian Securities (Malaysia) Sdn Bhd yang dilantik oleh Chemlite, akan menaja jamin sejumlah 51 juta saham terbitan yang ditetapkan untuk orang awam rakyat Malaysia dan mereka yang layak.

 

"Dana diperoleh daripada IPO akan digunakan secara strategik untuk menyokong inisiatif pertumbuhan syarikat, termasuk pengembangan kemudahan, menubuhkan bilik bersih serta melabur dalam mesin dan peralatan automasi." katanya.

 

Chemlite juga bakal menubuhkan jabatan penyelidikan dan pembangunan selain baki terbitan akan diperuntukkan untuk membayar balik pinjaman bank, menyokong keperluan modal kerja dan menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 2007 dan beribu pejabat di Pulau Pinang itu telah membina reputasi kukuh sebagai penyedia dalam perkhidmatan yang dipercayai para pelanggan bagi tugasan penyelesaian rawatan kemasan permukaan.

 

Ia mengkhususkan perniagaannya dalam perkhidmatan penyaduran logam dan penyaduran bukan logam, terutama untuk memenuhi permintaan daripada sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik serta jentera dan peralatan.

 

chemlite

 

"Selama bertahun-tahun, Chemlite mengukuhkan dirinya sebagai vendor yang diluluskan dan dipercayai dengan rekod prestasi didorong oleh kepakaran teknikal, piawaian jaminan kualiti ketat, dan kemudahan komprehensif di Penang Science Park," katanya.

 

Premis fasilitinya itu kini menempatkan lima talian penyaduran logam separa automatik dan dua talian automatik sepenuhnya yang memberikan penekanan kuat kepada automasi dan kualiti penyelesaian rawatan kemasan permukaannya.

 

Sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan strategik, Chemlite menyasarkan untuk memperluaskan portfolio perkhidmatan dengan pengenalan kerja pembersihan bilik bersih dan perkhidmatan pembungkusan bilik bersih.

 

Tawaran baharu ini akan meningkatkan perlindungan dan kebersihan produk dan/atau bahan sensitif, mencegah pencemaran dan mengekalkan integriti produk yang dijangka dapat bermula menjelang suku ketiga 2025.

 

Langkah ini jelasnya, membolehkan syarikat tersebut memenuhi keperluan pelanggan yang berubah dan menarik pelanggan baharu selain mengembangkan operasi kerana Chemlite berhasrat untuk membina banyak lagi kemudahan baharu.

 

"Ia bakal menempatkan sekurang-kurangnya 4 talian anodis automatik sepenuhnya dan 4 talian penyaduran logam separa automatik dengan pembinaan kemudahan tersebut disasarkan siap menjelang suku keempat 2026," katanya.

 

Untuk mencapai matlamat ini, syarikat itu menandatangani perjanjian jual beli dengan Penang Development Corporation pada 26 November 2024 untuk memperoleh tanah pajakan industri di Penang Science Park North dan dijangka siap menjelang suku kedua 2025. - DagangNews.com