KUALA LUMPUR 21 Nov – Meskipun Dayang Enterprise Holdings Bhd masih berdepan cabaran jangka pendek, namun asas syarikat kekal kukuh dengan tunai yang banyak dan projek besar menunggu untuk dilaksanakan,” kata CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan dan dividen dijangka meningkat sekiranya keadaan pasaran kembali normal.
Firma itu berkata, pendapatan jangka pendek Dayang dijangka terus berada di bawah tekanan susulan kelembapan dalam pesanan kerja, terutama ekoran ketidaktentuan yang berpunca daripada pertikaian antara PETRONAS dan Petros.
“Meskipun demikian, syarikat masih disokong oleh baki kerja belum disiapkan (backlog) bernilai RM4.9 bilion yang mampu menyediakan asas pendapatan yang stabil apabila keadaan kembali normal.
“Saham syarikat kini diniagakan pada paras penilaian terendah, sementara kedudukan tunai bersih yang semakin kukuh membuka ruang untuk pembayaran dividen yang lebih menarik
“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘tambah’ memandangkan prospek pemulihan jangka sederhana masih positif,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Bagi sembilan bulan pertama 2025, Dayang mencatat keuntungan bersih sebanyak RM154 juta, turun 41% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
CGSI berkata, prestasi itu adalah 76% daripada unjuran penganalisis bagi FY25, sejajar dengan pemulihan bermusim dalam suku ketiga.
“3QFY2025 menyaksikan peningkatan hasil Dayang sebanyak 14% berbanding suku sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat 37% suku-ke-suku.
“Peningkatan ini didorong oleh aktiviti penyelenggaraan offshore yang lebih kukuh dan pemulihan dalam segmen OSV melalui 64% pemilikan dalam Perdana Petroleum,” kata firma tersebut.
Walau bagaimanapun, berbanding tahun sebelumnya, keuntungan bersih bagi 3Q25 dan 9M25 menurun masing-masing 12% dan 41%.
Penurunan ini disebabkan kadar penggunaan kapal di Perdana Petroleum lebih lemah dan kurangnya projek penyelenggaraan (brownfield).
Sebelum ini, CGSI menjangkakan prestasi akan pulih selepas suku pertama 2025 yang perlahan apabila syarikat mula melaksanakan kontrak lima tahun baharu, tetapi kini pemulihan tersebut dijangka akan mengalami kelewatan.
“Susulan perkembangan ini, unjuran keuntungan bersih selepas cukai FY26–27 telah diturunkan sebanyak 28% bagi setiap tahun, manakala unjuran FY25 diturunkan sebanyak 5% hingga FY26F dan meningkat sedikit pada FY27F yang bergantung kepada perkembangan pasaran domestik,” kata CGSI.
Dengan penyesuaian ini, sasaran harga berdasarkan GGM diturunkan kepada RM2.10 (dari RM2.60).
Walaupun keuntungan jangka pendek dijangka terus lemah, harga saham Dayang kini mencerminkan senario tersebut apabila diniagakan hampir pada paras terendah dalam julat sejarah dengan P/E FY26F sekitar 5.6 kali.
Syarikat mengekalkan asas kukuh, termasuk francais penyelenggaraan yang dominan dan tahap aktiviti jangka panjang yang lebih tinggi, selaras dengan keperluan integriti aset.
CGSI berkata, kedudukan tunai bersih Dayang meningkat kepada RM546 juta pada suku ketiga 2025, menyediakan penampan kukuh terhadap kelembapan kitaran.
Dengan komitmen perbelanjaan modal (capex) minima dan penukaran tunai yang baik, syarikat mempunyai kapasiti untuk meningkatkan dividen melebihi kadar pembayaran 40% yang diunjurkan. - DagangNews.com








