Catcha Digital catat peningkatan hasil 127% kepada RM25.3 juta pada 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Catcha Digital catat peningkatan hasil 127% kepada RM25.3 juta pada 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov – Catcha Digital Bhd mencatatkan peningkatan ketara dalam prestasi kewangan suku ketiga 2025 (3QFY2025), dengan untung bersih lebih dua kali ganda kepada RM2.8 juta berbanding RM1.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Catcha berkata, hasil syarikat meningkat 127% kepada RM25.3 juta, disokong oleh sumbangan daripada perniagaan media dalam talian iMedia Asia dan pengambilalihan One International Exhibition Sdn Bhd.

 

“One International menyumbang RM6.94 juta hasil daripada penganjuran pameran perdagangan pada Ogos dan September 2025.

 

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, Catcha Digital mencatatkan hasil RM47.5 juta, meningkat 72.5%, manakala untung bersih naik 72.6% kepada RM5.9 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Terbitan hak Catcha Digital dilanggan lebih 78%, jana RM24 juta untuk pengambilalihan strategik

 

Ketua Pegawai Eksekutif Catcha Digital, Eric Tan berkata, prestasi kukuh ini dicapai walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi, disokong oleh kejayaan integrasi beberapa pengambilalihan terkini ke dalam kumpulan. 

 

“Ini membuktikan kemampuan syarikat mengenal pasti dan memaksimumkan potensi keuntungan segera selepas pengambilalihan.

 

“Catcha Digital juga berjaya mengumpul RM24.3 juta melalui penjualan saham kepada pemegang saham sedia ada, disertai dengan waran. 

 

“Tawaran ini mendapat sambutan hangat, malah 78% permintaan melebihi jumlah yang ditawarkan. Jika semua waran ini ditebus, syarikat berpotensi menambah sehingga RM73 juta lagi untuk menyokong rancangan pertumbuhan,” katanya.

 

Selain itu, Catcha Digital juga mempunyai kemudahan kredit berulang RM35 juta bersama Affin Investment Bank, ditambah dengan aliran tunai operasi yang stabil.

 

Beliau berkata, semua faktor itu memberi syarikat kekuatan kewangan yang kukuh, membolehkan Catcha Digital melaksanakan strategi pengambilalihan bernilai tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan syarikat.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, kejayaan mengumpul dana memberikan syarikat kekuatan kewangan untuk terus mengejar kerjasama strategik, pelaburan dan pengambilalihan yang meningkatkan pendapatan sesaham.

 

Sepanjang 12 bulan lalu, Catcha Digital mengumumkan lapan pengambilalihan strategik untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam ekonomi digital. 

 

Antaranya termasuk pengambilalihan 100% Maxoom Sdn Bhd pada 6 November 2025; 60% One International Exhibition Sdn Bhd pada 14 Ogos 2025; 92.5% Theta Service Partner Sdn Bhd pada 24 Mac 2025; 51% DS Services Sdn Bhd pada 17 Mac 2025; 60% Framemotion Studio Sdn Bhd pada 14 Mac 2025; 60% Drive 2 Digital Sdn Bhd pada 20 Disember 2024; 70% Tastefully Malaysia Sdn Bhd pada 19 Disember 2024; dan 51% Nexible Solutions Sdn Bhd pada 28 November 2024. 

 

Jumlah keuntungan dijangka daripada pengambilalihan ini ialah kira-kira RM26.7 juta bagi tempoh 12 bulan pertama pasca pengambilalihan atau bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Catcha Digital kini beroperasi dalam tiga sektor utama iaitu media digital dan pengiklanan, perisian, serta penganjuran pameran perdagangan.

 

Anak syarikatnya, iMedia Asia Sdn Bhd mengendalikan jenama media digital seperti OhMedia, Beautifulnara, Weirdkaya, Goody25, The Reporter, Moretify, KS Lagi, iCanvas dan Ittify, serta jenama automotif terkemuka seperti Automachi, Auto123, Careta dan Mekanika. 

 

One International Exhibition Sdn Bhd pula adalah peneraju dalam penganjuran pameran B2B berskala besar termasuk Agri Malaysia dan MBAM OneBuild, manakala Nexible Solutions Sdn Bhd menyediakan perisian berasaskan AI untuk pengurusan jualan dan hubungan pelanggan.

 

Catcha Digital menekankan komitmen berterusan untuk membina kumpulan digital yang berdaya saing serantau, memberi pulangan mampan kepada pemegang saham, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia dan Asia Tenggara. - DagangNews.com