Carimin mahu swastakan Sealink pada nilai RM165 juta, bentuk kumpulan O&G luar pesisir lebih besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carimin mahu swastakan Sealink pada nilai RM165 juta, bentuk kumpulan O&G luar pesisir lebih besar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mei – Carimin Petroleum Berhad bercadang mengambil alih sepenuhnya Sealink International Berhad menerusi cadangan penswastaan bernilai kira-kira RM165 juta yang bakal menyaksikan syarikat itu dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Carimin memaklumkan telah menyerahkan surat cadangan rasmi kepada lembaga pengarah Sealink bagi memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti syarikat itu yang belum dimilikinya melalui skim pengaturan di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016.

 

Lembaga pengarah Sealink diberi tempoh sehingga 26 Mei 2026 untuk memutuskan sama ada cadangan itu akan dibawa kepada pemegang saham syarikat untuk dipertimbangkan.

 

Ketika ini, Carimin memiliki 97.5 juta saham Sealink bersamaan pegangan 19.5%, manakala baki 402.5 juta saham atau 80.5% lagi dimiliki pemegang saham lain.

 

Di bawah cadangan itu, Carimin menawarkan RM0.41 sesaham secara tunai kepada semua pemegang saham Sealink yang layak, menjadikan jumlah keseluruhan tawaran dianggarkan sekitar RM165 juta.

 

Harga tawaran RM0.41 sesaham itu mewakili premium berbanding harga dagangan saham Sealink sebelum ini, termasuk premium 26.15% berbanding harga penutup RM0.325 pada 11 Mei 2026.

 

Bagaimanapun, harga tawaran tersebut masih berada sedikit di bawah nilai aset bersih (NTA) Sealink sebanyak RM0.43 sesaham setakat 31 Disember 2025 yang membolehkan Carimin merekodkan keuntungan pembelian murah (bargain purchase gain) dianggarkan sekitar RM9.71 juta.

 

Carimin berkata, cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi pelaburan jangka panjang kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri perkhidmatan minyak dan gas (O&G) luar pesisir.

 

t

 

“Penggabungan operasi Carimin dan Sealink akan mewujudkan sebuah kumpulan perkhidmatan luar pesisir yang lebih bersepadu melalui gabungan kepakaran dalam kerja pembinaan, penyambungan dan pengoperasian sistem, penyelenggaraan bahagian atas pelantar, perkhidmatan tenaga kerja serta operasi kapal sokongan luar pesisir,” katanya.

 

Sealink memiliki perniagaan utama dalam bidang penyewaan kapal marin, pembinaan kapal, pemilikan vesel serta operasi limbungan kapal di Kuala Baram, Sarawak.

 

Carimin berpandangan pemilikan langsung terhadap limbungan kapal Sealink akan membolehkan kumpulan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga serta memperkukuh daya saing dalam bidaan kontrak baharu khususnya melibatkan PETRONAS dan pengendali kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

 

Selain itu, penggabungan armada kapal yang lebih besar juga dijangka membantu kumpulan meningkatkan kadar penggunaan vesel, menjimatkan kos operasi serta membuka peluang kepada kontrak lebih besar dan jangka panjang.

 

Carimin turut melihat prospek positif industri O&G luar pesisir Malaysia berdasarkan Pelan Aktiviti PETRONAS 2026-2028 yang dijangka terus dipacu aktiviti penerokaan, pembangunan medan laut dalam, enhanced oil recovery (EOR) dan peningkatan permintaan terhadap kapal sokongan luar pesisir.

 

Menurut syarikat itu, kekurangan bekalan kapal sokongan luar pesisir (OSV) susulan aktiviti pembinaan kapal baharu yang masih perlahan dijangka menyokong kadar penggunaan vesel dan kadar sewaan kapal dalam tempoh sederhana dan panjang.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Sealink mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 51.4% kepada RM189.6 juta berbanding RM125.3 juta tahun sebelumnya susulan peningkatan aktiviti luar pesisir dan kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, syarikat itu merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM859,000 berbanding keuntungan RM18.8 juta pada tahun sebelumnya akibat peningkatan kos operasi termasuk aktiviti pengaktifan kapal, kos kru, penyelenggaraan serta insiden kebakaran melibatkan salah satu vesel kumpulan.

 

t

 

Carimin memaklumkan cadangan penswastaan itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan gearing kumpulan dijangka meningkat kepada 0.88 kali berbanding 0.12 kali ketika ini.

 

Berdasarkan proforma kewangan, pendapatan sesaham (EPS) Carimin dijangka terjejas dalam jangka pendek berikutan kos pembiayaan dan perbelanjaan berkaitan pengambilalihan tersebut.

 

Walaupun begitu, lembaga pengarah Carimin berpandangan kesan itu bersifat sementara memandangkan kumpulan dijangka memperoleh manfaat sinergi operasi, pengembangan armada kapal dan peluang kontrak lebih besar pada masa depan.

 

Cadangan penswastaan itu juga tertakluk kepada beberapa kelulusan termasuk pemegang saham Carimin, pemegang saham minoriti Sealink, Mahkamah Tinggi serta Bursa Malaysia.

 

Sehingga kini, Carimin memaklumkan tiada pemegang saham Sealink yang memberikan akujanji tidak boleh batal (irrevocable undertaking) untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.

 

Menariknya, sekiranya cadangan penswastaan itu tidak berjaya dilaksanakan, Carimin tetap berhasrat meningkatkan pegangan dalam Sealink sehingga 32.5% daripada 19.5% ketika ini pada harga maksimum RM0.41 sesaham menerusi pembelian di pasaran terbuka atau daripada pemegang saham sedia ada.

 

Carimin berkata, Sealink juga tidak mempunyai sebarang sekuriti boleh tukar seperti waran atau nota boleh tukar yang boleh menyebabkan pencairan pegangan saham pada masa depan.

 

Sekiranya cadangan itu berjaya dilaksanakan, Sealink akan menjadi anak syarikat milik penuh Carimin dan saham syarikat tersebut akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada suku keempat tahun kalendar 2026. - DagangNews.com