KUALA LUMPUR 10 Feb — Aktiviti pembelian saham pada harga murah menyuntik sentimen positif ke Bursa Malaysia awal minggu, apabila FBMKLCI ditutup lebih tinggi melepasi paras psikologi 1,750 mata.
Menurut Maybank Investment Bank, pasaran menunjukkan penyertaan yang lebih meluas susulan tekanan sepanjang minggu lalu, dengan kaunter perbankan utama menjadi pemangkin kepada kenaikan indeks.
Jelas firma penyelidikan tersebut, FBMKLCI meningkat 18.47 mata atau 1.07% untuk ditutup pada 1,751.30 mata, disokong oleh lonjakan saham seperti Public Bank, 99 Speed Mart dan IHH Healthcare.
"Secara keseluruhan, kaunter untung mengatasi rugi pada nisbah 797 berbanding 355, dengan indeks penanda aras itu diramal dalam julat 1,740 hingga 1,760 mata dalam tempoh terdekat," katanya.
Selain itu tambah Maybank IB dalam analisisnya hari ini, FBMKLCI dijangka masih lagi kukuh dengan paras sokongan utama kekal berlegar-legar antara 1,685 mata dan 1,640 mata sepanjang minggu ini.
Sektor teknologi jelasnya, muncul sebagai peneraju berikutan pemulihan saham teknologi Amerika Syarikat (AS), manakala sektor pengguna dan hartanah turut menunjukkan isyarat teknikal positif.
Dalam idea dagangan teknikal, firma tersebut mencadangkan Sarawak Oil Palms Berhad dengan saranan 'beli' serta sasaran rintangan antara RM4.16 dan RM4.60, selain paras henti rugi pada RM3.48.
"Saham syarikat perladangan ini dilihat berada dalam fasa pembinaan asas selepas menyaksikan trend pergerakan secara mendatar yang berpanjangan, dengan sentimen menaik masih utuh," kata Maybank IB.
Ia turut memberikan saranan 'beli' ke atas GDB Holdings Berhad, disokong minat belian baharu pada paras anjakan 61.8%, dengan rintangan pada 43 sen dan 48 sen, serta aras henti rugi 35 sen.
Sebaliknya, Maybank IB menyarankan 'jual' terhadap TMK Chemical Berhad susulan pembentukan corak 'head-and-shoulder' memberi isyarat pembalikan menurun, dengan sokongan pada RM1.22 dan RM1.08.
Bagi pasaran komoditi, firma penyelidikan tersebut memaklumkan fasa pembetulan minyak sawit mentah (FCPO) semakin perlahan, dengan purata bergerak 200 hari yangbertindak sebagai sokongan utama.
"Keadaan ini mengukuhkan aliran menaik jangka sederhana, manakala niaga hadapan FBMKLCI mencatat lonjakan kukuh dan menembusi garisan aliran menurun, membentuk corak 'bullish flag'," katanya
Perkembangan positif tersebut jelas Maybank IB, secara kelazimannya menandakan kesinambungan aliran menaik, dan firma itu melihat sentimen pasaran kekal konstruktif dalam tempoh jangka pendek.
Secara keseluruhan, bursa tempatan disokong aktiviti pemburuan saham murah dan isyarat teknikal yang semakin menggalakkan dengan merentas beberapa sektor utama. - DagangNews.com








