Bursa Malaysia gantung saham Asdion mulai 14 Julai, syarikat berisiko dinyahsenarai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia gantung saham Asdion mulai 14 Julai, syarikat berisiko dinyahsenarai

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Asdion Bhd bakal berdepan penyingkiran daripada senarai Bursa Malaysia selepas gagal melantik penaja baharu bagi meneruskan pelan penyusunan semula di bawah Keperluan Nota Panduan 3 (GN3) yang menyebabkan dagangan saham syarikat itu akan digantung mulai 14 Julai ini.

 

Bursa Malaysia berkata, syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE itu juga gagal mengemukakan permohonan lanjutan masa untuk melantik penaja baharu selepas peletakan jawatan Kenanga Investment Bank Bhd sebagai penasihat utama dan penaja.

 

Sehubungan itu, Bursa Malaysia memaklumkan saham Asdion akan dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada 16 Julai 2026, kecuali syarikat itu berjaya dalam rayuan yang perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 13 Julai ini.

 

Bagaimanapun, Bursa Malaysia menjelaskan dagangan sekuriti Asdion tetap akan digantung mulai 14 Julai walaupun syarikat mengemukakan rayuan dan keputusan terhadap rayuan tersebut masih belum dimuktamadkan.

 

Pada 3 Julai lalu, Asdion mengumumkan Kenanga Investment Bank akan menamatkan peranannya sebagai penasihat utama dan penaja berkuat kuasa 6 Julai selepas membuat semakan terhadap perkembangan pelan penyusunan semula GN3 syarikat itu.

 

Ketika itu, Asdion memaklumkan sedang berusaha melantik penasihat dan penaja baharu serta akan membuat pengumuman lanjut sebaik proses tersebut dimuktamadkan.

 

Bagaimanapun, dalam kemas kini bulanan status GN3 yang dikeluarkan pada 1 Julai lalu, syarikat itu memaklumkan masih giat menyiapkan pelan penyusunan semula selepas Bursa Malaysia memberikan lanjutan kali kedua sehingga 31 Julai 2026 untuk mengemukakan pelan berkenaan.

 

Sebelum itu, syarikat turut diberikan lanjutan selama enam bulan sehingga 31 Januari 2026.

 

Asdion diklasifikasikan sebagai syarikat GN3 pada Ogos 2024 selepas juruaudit luar menyatakan wujud ketidakpastian material terhadap keupayaan syarikat untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan yang mewajibkannya mengemukakan pelan penyusunan semula dalam tempoh 12 bulan.

 

Laporan juruaudit ketika itu menunjukkan liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa sebanyak RM5.56 juta setakat akhir Mac 2024, selain merekodkan kerugian bersih RM7.79 juta bagi tahun kewangan berkenaan.

 

Juruaudit turut berpandangan bahawa kelangsungan operasi Asdion bergantung kepada kejayaan syarikat melaksanakan pelan pemulihan perniagaan serta usaha mendapatkan pembiayaan baharu.

 

Asdion yang pada asalnya menjalankan perniagaan pembangunan perisian dan teknologi maklumat (IT) sebelum mempelbagaikan operasi ke dalam sektor logistik pada 2015 dan pembangunan hartanah pada 2016, kini hanya memiliki segmen logistik yang masih mencatatkan kerugian. - DagangNews.com