Buku tempahan Infomina berjumlah RM573 juta berupaya sokong hasil hingga 3 tahun, kata AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan Infomina berjumlah RM573 juta berupaya sokong hasil hingga 3 tahun, kata AmInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 April — Dalam persekitaran pasaran yang semakin tidak menentu, kekuatan buku tempahan sebanyak RM573 juta dilihat menjadi faktor utama menyokong hasil Infomina Berhad.


Menurut AmInvestment Bank, perkembangan positif tersebut dijangka membantu keterlihatan pendapatan kumpulan berkenaan bagi tempoh sekurang-kurangnya antara dua hingga tiga tahun yang akan datang.


Firma penyelidikan itu berkata, situasi ini memberikan kelebihan berbanding syarikat lain, sekali gus menawarkan tahap kebolehramalan hasil yang semakin bernilai dalam keadaan pasaran semasa.


“Permintaan ada dalam tangan, dan ini menyokong unjuran pertumbuhan pendapatan 32% tahun ke tahun (YoY) bagi FY27, dipacu pembaharuan kontrak dan pengembangan operasi Infomina ke Jepun,” katanya.


AmInvest justeru mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham, berasaskan gandaan 24 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kalendar 2027.


Tambahnya, penilaian semasa saham syarikat itu masih dianggap menarik memandangkan keterlihatan hasil kukuh serta potensi pertumbuhan di Jepun dan inisiatif berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Infomina naik 7.5% kepada RM8.8 juta bagi 3QFY26 didorong peningkatan hasil

 

Infomina_DagangNews


Dari segi prestasi semasa, keuntungan teras Infomina bagi tempoh sembilan bulan FY26 didapati turut meningkat 7% YoY kepada RM26 juta, bersamaan 79% daripada unjuran penuh tahun firma itu.


"Walaupun margin susut disebabkan kos berkaitan operasi di Jepun dimasukkan sebagai perbelanjaan, ia dijangka bertambah baik apabila skala perniagaan mula menjadi lebih besar," kata AmInvest.


Sumbangan hasil dari negara maju berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, juga semakin ada peningkatan kepada 5% daripada jualan dalam tempoh tersebut berbanding hanya 3% tahun sebelumnya.


Dalam pada itu, buku tempahan Infomina meningkat 3% suku ke suku (QoQ) kepada RM573 juta, disokong kontrak baharu termasuk projek bernilai RM69 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Syarikat turut meraih tender RM23 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan AmInvest menjangkakan ada banyak potensi kontrak berskala besar dari Thailand dalam masa yang terdekat.


"Dari segi isu teknologi, kami berpandangan perkembangan AI generatif (genAI) bukan ancaman kepada kumpulan ini, sebaliknya meningkatkan kecekapan jurutera," jelas firma itu. - DagangNews.com