KUALA LUMPUR 16 April - Infomina Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 7.5% kepada sebanyak RM8.8 juta bagi tempoh suku ketiga yang berakhir pada 28 Februari 2026 (3QFY26).
Menurutnya, prestasi positif itu didorong terutamanya oleh sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan infrastruktur teknologi.
Katanya, hasil kumpulan melonjak 50.6% kepada RM75.9 juta daripada RM50.4 juta, hasil pertumbuhan kukuh dalam segmen utama perniagaan reka bentuk dan penyampaian rumusan infrastruktur teknologi.
"Bagi prestasi tempoh kumulatif selama sembilan bulan, keuntungan bersih dicatatkan sebanyak RM25.1 juta daripada hasil berjumlah RM193.4 juta," kata Infomina dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun ujar kumpulan berkenaan, Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang pengisytiharan dividen untuk diagihkan kepada semua pemegang saham syarikat bagi suku dalam tinjauan tersebut.
Menyentuh mengenai prospek, kumpulan itu terus memperkukuh asas hasil berulang melalui pembaharuan kontrak di Malaysia dan Thailand bernilai RM224.4 juta berpotensi bagi tiga tahun akan datang.
Selain itu, kumpulan kekal optimis terhadap pertumbuhan melalui inisiatif inovasi Infomina AI dan pengembangan pasaran ke Jepun, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global. - DagangNews.com








