KUALA LUMPUR 12 Feb – Betamek Berhad berjaya mencatatkan lonjakan keuntungan bersih bagi suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 sebanyak 95.5% kepada RM8.95 juta.
Kumpulan pembekal rumusan elektronik industri automotif tersebut berkata, ia berikutan permintaan yang berdaya tahan, peningkatan jumlah pengeluaran serta pelaksanaan kos secara berdisiplin.
Katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku itu meningkat kepada RM11.18 juta berbanding RM5.72 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Sementara itu, hasil meningkat 10.9% YoY kepada RM80.13 juta, disokong oleh pesanan lebih tinggi daripada pelanggan automotif utama dan peningkatan daya pemprosesan produk teras," jelas Betamek.
Secara kumulatif tambah kumpulan itu, ia mencatat pendapatan sembilan bulan sebanyak RM209.48 juta dengan PBT mencecah RM30.84 juta, melepasi kira-kira 87% daripada keputusan FY25 yang diaudit.
Lembaga Pengarah syarikat yang ditubuhkan sejak 1989 ini optimis bahawa FY26 bakal menjadi tahun rekod bagi kumpulan beribu pejabat di Rawang Selangor itu berikutan momentum tempahan kukuh.
Seiring dengan prestasi kukuh ini, Betamek turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.25 sen sesaham, sekali gus menjadikan dividen kumulatif pada FY26 sebanyak 3.50 sen sesaham.

"Angka tersebut bersamaan nisbah pembayaran kira-kira 64% daripada pendapatan selama tempoh sembilan bulan, yang setara dengan hasil dividen sebanyak 6.9%," kata kumpulan berkenaan lagi.
Pengarah Eksekutifnya, Muhammad Fauzi Abd Ghani, berkata, prestasi suku ini mencerminkan kekuatan asas operasi syarikat dengan pertumbuhan hampir dua digit dan lonjakan PBT mencapai 95.5%.
Situasi itu menggariskan daya tahan model perniagaan Betamek, dengan pendapatan sembilan bulan melepasi 87% keputusan FY25 yang diaudit, serta yakin FY26 akan menjadi satu lagi tahun rekod.
Sokongan prestasi suku ini datang daripada pasaran automotif tempatan yang kukuh, terutamanya Perodua yang memegang 43.9% bahagian pasaran kenderaan penumpang dengan jualan 359,904 unit.
"Strategi kepelbagaian pendapatan kumpulan ini juga membuahkan hasil apabila pelanggan bukan automotif kami menyumbang kira-kira 18% daripada jumlah pendapatan," tambah Muhammad Fauzi
Dalam pada itu, beliau berkeyakinan yang usaha pengembangan eksport produk Betamek ke Jepun, Hong Kong dan rantau Asia lain turut meningkat sepanjang FY26. - DagangNews.com








