Beshom dikhuatiri catat hasil rendah pada FY25 disebabkan penyusutan jualan tonik Cina - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Beshom dikhuatiri catat hasil rendah pada FY25 disebabkan penyusutan jualan tonik Cina - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Beshom Holdings Berhad dikhuatiri mencatatkan pendapatan lebih rendah pada tahun kewangan 2025 disebabkan penyusutan jualan tonik berubat Cina, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kemerosotan hasil berkenaan turut dikenal pasti berpunca daripada faktor jualan yang lebih lemah dalam kategori teh bertemakan gaya vintaj atau klasik.


Penurunan hasil itu juga katanya, berikutan pengenaan pelbagai kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 30.9 peratus pada FY25, berbanding hanya kira-kira 24.2 peratus pada tahun sebelumnya.


"Bagaimanapun prestasi lemah di bahagian borong dan runcit, diimbangi dengan keputusan lebih baik daripada segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM)," kata TA Securities dalam satu nota kajian.


Pendapatan teras FY25 dicatatkan Beshom dilaporkan merosot sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun (YoY), walaupun ada peningkatan 2.6 peratus YoY dalam perolehan jualan kepada RM155.1 juta.


Walaupun pendapatannya lebih lemah, kumpulan tersebut masih lagi mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham untuk suku dalam tinjauan, menjadikan dividennya kepada 3.0 sen sesaham.


Mengulas lanjut, TA Securities berkata, bahagian runcit kekal mencabar meskipun perolehan lebih tinggi direkodkan sebanyak RM35.7 juta, iaitu meningkat 2.8 peratus pada YoY pada FY25.


"Segmen ini mencatatkan kerugian sebanyak RM0.1 juta, berbanding RM0.6 juta setahun yang lalu, sebahagian besar didorong oleh perbelanjaan operasi dan pemasaran lebih tinggi," kata firma itu.


Hasil bahagian borong katanya, meningkat sedikit sebanyak 1.9 peratus YoY kepada RM59.4 juta, disokong oleh jualan yang lebih kukuh daripada salah satu rangkaian produk kesihatan baharunya.


Berdasarkan perkembangan semasa ketika ini, TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran juga ditetapkan sebagai tidak berubah kepada 64 sen sesaham. - DagangNews.com