KUALA LUMPUR 5 Feb – Berjaya Food Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM27.57 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, berbanding kerugian RM67.09 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Berjaya Food berkata pendapatan kumpulan bagi tempoh ini meningkat sedikit kepada RM254.54 juta daripada RM247.30 juta, didorong terutamanya oleh sumbangan operasi luar negara.
“Pada suku kedua FY2026, Berjaya Food merekodkan pendapatan RM126.30 juta dan kerugian sebelum cukai RM12.09 juta, berbanding RM123.10 juta dan RM35.27 juta pada suku sama tahun sebelumnya,” kata Berjaya Food dalam makluman itu.
Penurunan kerugian sebanyak 66 peratus bagi suku berkenaan mencerminkan keberkesanan langkah penjimatan kos dan penutupan kedai yang tidak menguntungkan.
Berjaya Food berkata operasi di Malaysia menyumbang keuntungan sebanyak RM1.6 juta, manakala operasi di negara Asia Tenggara lain dan Iceland masing-masing mencatatkan kerugian RM3.3 juta dan RM2.1 juta.
“Bagi enam bulan pertama, kerugian operasi berjumlah RM5.77 juta, menurun ketara berbanding RM44.73 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Pengurangan kerugian ini disokong oleh margin keuntungan yang lebih baik hasil daripada langkah pengurusan kos, susut nilai aset yang lebih rendah serta penstrukturan semula kedai selepas pengiktirafan kerugian aset pada tahun sebelumnya,” kata Kumpulan itu.
Jumlah aset kumpulan setakat 31 Disember 2025 ialah RM975.28 juta, dengan liabiliti berjumlah RM894.94 juta.
Ekuiti pemegang saham berkurangan kepada RM80.34 juta daripada RM107.84 juta pada Jun 2025.
Kumpulan mempunyai aliran tunai operasi positif sebanyak RM27.71 juta, manakala aliran tunai pelaburan dan pembiayaan masing-masing menyaksikan penggunaan sebanyak RM11.09 juta dan RM18.42 juta.
Berjaya Food optimis bahawa langkah-langkah pemulihan dan penstrukturan operasi akan terus menyokong pertumbuhan mampan dan membawa kumpulan kembali ke landasan keuntungan dalam tempoh terdekat, sekiranya tiada kejadian luar jangka. - DagangNews.com








