Bank Islam sasar pertumbuhan pembiayaan lebih kukuh - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam sasar pertumbuhan pembiayaan lebih kukuh - CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — CGS International Research positif terhadap propek Bank Islam Malaysia Berhad berikutan pertumbuhan pembiayaan dan pulangan ekuiti (ROE) institusi tersebut yang lebih tinggi.
 

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan berkata, ia mengunjuran pemulihan dalam pertumbuhan pembiayaan pada tahun kewangan 2025 (FY25) dan pengembangan ROE daripada 7.6 peratus pada FY24 kepada 8.3 peratus pada FY27.
 

ROE mengukur keuntungan syarikat dengan ekuiti pemegang saham. Pertumbuhan pembiayaan bank itu telah merosot daripada 8.4 peraus tahun ke tahun (y-o-y) pada akhir September 2023 kepada 2.6 peratus pada akhir Disember 2023.
 

Keadaan tersebut menurut Bank Islam, disebabkan pembayaran balik yang tinggi dalam pembayaran balik pembiayaan korporat. Sejak itu, pertumbuhan pembiayaan kekal lembap, dengan pengembangan y-o-y di bawah 3 peratus.

 

Ia bagaimanapun kembali pulih daripada 1.7 peratus y-o-y pada akhir September 2024 kepada 3.8 peratus y-o-y pada akhir Disember 2024, apabila pembayaran balik pembiayaan korporat semakin berkurangan.
 

Bank Islam ujar CGSI Research, telah mengunjurkan pertumbuhan pembiayaannya antara sebanyak 7 peratus sehingga 8 peratus pada FY25, berbanding unjuran oleh firma penyelidikan tersebut hanya sebanyak 7 peratus.
 

Selain itu katanya, Bank Islam juga menyasarkan pada FY25 untuk mencapai sasaran nisbah pembiayaan terjejas kasar di bawah 1 peratus, margin pendapatan bersih lebih daripada 2 peratus dan ROE lebih daripada 7.5 peratus.
 

"Sasarannya untuk margin pendapatan bersih mencerminkan potensi penguncupan dalam margin pendapatan bersih pada FY25 (daripada 2.13 peratus pada FY24), pada pandangan kami," kata firma penyelidikan itu.
 

Dari segi pendapatan pula, CGSI Research berkata keuntungan bersih Bank Islam pada FY24 adalah dalam jangkaan 101 peratus daripada unjurannya manakala 103 peratus daripada anggaran konsensus Bloomberg.
 

“Bagaimanapun, dividen FY24 sesaham yang ditetapkan Bank Islam sebanyak 15.1 sen adalah lebih tinggi sedikit daripada unjuran kami sendiri hanya sebanyak 14 sen,” katanya.
 

Keuntungan bersih bank berkenaan ujar firma tersebut, meningkat sebanyak 3.2 peratus pada FY24, disokong oleh kejatuhan 46 peratus dalam peruntukan kerugian pembiayaannya.
 

CGSI Research mengekalkan saranan 'tambah' untuk prospek bank itu, berdasarkan potensi pemangkin penarafan semula daripada jangkaan peningkatan dalam pertumbuhan pembiayaan pada FY25 dan pengembangan ROE daripada 7.6 peratus pada FY24 kepada 8.3 peratus pada FY26.
 

"Risiko buruk kepada saranan kami itu termasuk pertumbuhan pembiayaan yang lebih lemah daripada jangkaan pada FY25 dan peningkatan ketara dalam nisbah pembiayaan terjejas kasarnya," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com