KUALA LUMPUR 10 Feb – Bank Islam Malaysia Berhad mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap pautan serta akaun media sosial palsu yang menyalahgunakan jenama dan gambarnya bagi tujuan penipuan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff menegaskan bahawa semua kempen yang dianjurkan sendiri oleh Bank Islam selama ini cuma dipromosikan menerusi saluran rasmi institusi perbankan tersebut.
“Bank Islam sentiasa mengutamakan keselamatan data dan kepentingan pelanggan. Kami tidak akan minta maklumat peribadi atau sensitif seperti nombor akaun, kata laluan atau kod OTP melalui laman web mahupun akaun media sosial.
"Malah, apa-apa promosi mengenai sebarang kempen hanya dibuat menerusi laman-laman rasmi. Justeru, kami gesa orang ramai berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik licik golongan tidak bertanggungjawab," tegasnya.
Beliau seterusnya menasihatkan masyarakat supaya perlu sentiasa memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu mengenai sebarang aktiviti dilaksanakan Bank Islam sebelum berhasrat mengambil langkah yang seterusnya.

Bank Islam ujarnya, menegaskan bahawa semua maklumat rasmi berkaitan kempen, promosi, atau produk perbankan mereka hanya akan disiarkan melalui saluran rasmi antaranya laman web rasmi iaitu www.bankislam.com.
Selain itu, para pengguna boleh menelusuri platform media sosial rasmi Bank Islam iaitu Facebook atas nama Bank Islam Malaysia Berhad, Instagram bankislam, X myBankIslam dan LinkedIn Bank Islam Malaysia Berhad.
Pengguna disarankan mengikuti langkah tertentu sebagai melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan dengan berhati-hati melayari pautan yang boleh diklik dan sentiasa log masuk ke akaun perbankan melalui laman web rasmi.
Selain itu katanya, perhatikan dengan teliti pautan sebelum meneruskan aktiviti perbankan termasuk imej dan kata keselamatan yang betul sebelum memasukkan kata laluan serta tidak berkongsi maklumat peribadi seperti kod OTP.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan penyalahgunaan jenama Bank Islam kepada Pusat Khidmat Pelanggan Bank Islam di 03-26 900 900 atau e-mel kepada [email protected] untuk tindakan lanjut. - DagangNews.com








