Bank Islam lantik Raja Teh Maimunah sebagai CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam lantik Raja Teh Maimunah sebagai CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026.

 

Bank Islam dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu adalah hasil daripada proses pencarian yang menyeluruh, di mana Lembaga Pengarah menilai sekumpulan besar calon berkelayakan tinggi.

 

“Setelah membuat pertimbangan mendalam, Raja Teh Maimunah dipilih sebagai calon terbaik untuk memimpin Bank Islam ke fasa pertumbuhan seterusnya.

 

“Beliau menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang bersara awal pada Disember 2025 setelah lebih sedekad berkhidmat, mengukuhkan kedudukan Bank Islam sebagai bank perintis kewangan Islam di Malaysia,” kata bank tersebut dalam kenyataan itu.

 

Raja Teh Maimunah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perbankan dan kewangan Islam. 

 

Sebelum menyertai Bank Islam, beliau merupakan pengasas dan CEO AEON Bank (M) Berhad, di mana beliau memacu pelancaran bank digital Islam pertama di Malaysia. 

 

Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di AmBank, Hong Leong Islamic Bank dan Bursa Malaysia, termasuk merintis pelancaran platform dagangan komoditi patuh Syariah pertama dunia, Bursa Suq Al-Sila’.

 

Raja Teh Maimunah pernah menerima pengiktirafan sebagai Personaliti Kewangan Islam Terbaik pada 2016 dan Anugerah Ahli Perbankan Wanita Cemerlang ASEAN pada 2025.

 

Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata pelantikan Raja Teh Maimunah selaras dengan aspirasi strategik Kumpulan untuk memperkukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi dan memastikan kepatuhan tertinggi terhadap prinsip Syariah serta integriti.

 

Raja Teh Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hons) dan Doktor Kehormat Undang-Undang dari University of East London. 

 

 

 

 

 

 

Beliau juga merupakan Felo Pegawai Bank Bertauliah dan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam.

 

Pelantikan ini dijangka mempercepatkan transformasi digital Bank Islam dengan menggabungkan kepakaran digital Raja Teh Maimunah bersama pengalaman merintis industri kewangan Islam yang dimiliki oleh Kumpulan. - DagangNews.com