Axiata lantik Nik Rizal Kamil sebagai CEO Kumpulan baharu berkuat kuasa Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata lantik Nik Rizal Kamil sebagai CEO Kumpulan baharu berkuat kuasa Jun 2026

Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb – Axiata Group Berhad mengumumkan pelantikan Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Jun 2026.

 

Axiata dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu adalah untuk menggantikan Vivek Sood yang telah memimpin syarikat sejak 2023.

 

“Pelantikan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Axiata dalam perancangan penggantian kepimpinan serta menegaskan komitmen syarikat terhadap kesinambungan dan pembangunan bakat dalaman,” kata Axiata dalam makluman tersebut.

 

Nik Rizal menyertai Axiata sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) pada Januari 2024. 

 

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam kewangan, pelaburan, dan perakaunan serta pernah memegang jawatan penting di RHB Bank, Khazanah Nasional Berhad dan Royal Dutch Shell di Malaysia, Singapura dan United Kingdom. 

 

Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Sains dalam Kewangan dari London Business School dan BSc Ekonomi & Perakaunan dari University of Bristol, serta merupakan Fellow Chartered Accountant (FCA) dan Business Finance Professional (BFP).

 

Sementara itu Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata Nik Rizal telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh strategi dan disiplin kewangan syarikat, serta yakin pelantikan beliau akan menyokong prestasi mampan dan penciptaan nilai jangka panjang.

 

Sementara itu, Vivek Sood menyatakan sokongan terhadap pelantikan Nik Rizal dan menekankan pentingnya memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar. 

 

Nik Rizal pula berkata beliau berasa bersyukur dilantik sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Urusan baharu dalam Axiata serta menyatakan komitmen untuk memastikan kesinambungan strategi Kumpulan. - DagangNews.com