Axiata kurangkan kerugian 4Q25 kepada RM38.7 juta, umum dividen 5 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata kurangkan kerugian 4Q25 kepada RM38.7 juta, umum dividen 5 sen

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Feb — Axiata Group Berhad berjaya mengecilkan kerugian bersih kepada RM38.68 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q25) berbanding RM224.77 juta yang dicatatkan setahun lalu, disokong peningkatan hasil, keuntungan pertukaran asing serta kos kewangan dan cukai yang lebih rendah.

 

Hasil suku tersebut meningkat sedikit 0.3% kepada RM2.98 bilion daripada RM2.97 bilion sebelumnya, meskipun terjejas oleh kesan terjemahan mata wang asing susulan penyusutan beberapa mata wang operasi berbanding ringgit.

 

Kumpulan turut mengumumkan dividen lima sen sesaham bagi tempoh berkenaan.

 

Keuntungan FY25 merosot 61.5%

Bagi tahun kewangan penuh 2025 (FY25), keuntungan bersih Axiata bagaimanapun merosot 61.5% kepada RM364.6 juta berbanding RM946.8 juta pada tahun sebelumnya, selari dengan penyusutan hasil sebanyak 6.2% kepada RM11.76 bilion daripada RM12.54 bilion.

 

Namun begitu, aliran tunai bebas meningkat 12.8% kepada RM1.6 bilion, membolehkan pembayaran hutang berterusan di syarikat operasi seperti Edotco, Dialog dan Robi, selain memperkukuh kecairan di peringkat syarikat pemegangan.

 

Pengerusi Axiata, Shahril Ridza Ridzuan berkata, lembaga pengarah menggalakkan kemajuan dicapai sepanjang 2025, khususnya dalam memperkukuh penjanaan tunai, memulihkan daya tahan kunci kira-kira serta meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan.

 

“Ketika Axiata beralih kepada strategi Axiata28: Advancing Asia, fokus kami kekal kepada peruntukan modal berdisiplin, pelaksanaan konsisten dan mengekalkan pulangan merentasi portfolio yang lebih fokus dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tamat Strategi Axiata 5*5, Masuk Fasa Baharu

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, Vivek Sood berkata, 2025 menandakan penyempurnaan fasa penting transformasi kumpulan dengan berakhirnya pelaksanaan Strategi Axiata 5*5.

 

Menurut beliau, dalam tempoh tiga tahun lalu, kumpulan telah memperkukuh syarikat operasi, meningkatkan daya tahan kewangan dan memperkemas fokus strategik di semua pasaran.

 

“Dengan penyatuan pasaran utama telah dimuktamadkan dan integrasi berjalan lancar, syarikat operasi kini berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana aliran tunai kukuh dalam struktur pasaran yang lebih rasional.

 

“Pasaran frontier terus menunjukkan daya tahan dan menyumbang aliran tunai stabil, manakala di Malaysia dan Indonesia, sinergi penggabungan diterjemahkan kepada peningkatan keterlihatan pendapatan,” katanya.

 

Beliau menambah, Axiata kini memasuki fasa seterusnya sebagai pengurus aset pintar di bawah strategi Axiata28, dengan tumpuan kepada peruntukan modal berdisiplin dan portfolio seimbang merangkumi perniagaan telekomunikasi serta teknologi bagi meningkatkan pulangan kepada pemegang saham.

 

Kos syarikat pemegangan yang lebih rendah serta pengurangan hutang kumpulan dijangka memberikan keterlihatan dan kebolehramalan aliran dividen yang lebih baik pada masa hadapan. - DagangNews.com