Aumas kaut untung bersih RM33.35 juta bagi FY25 didorong kenaikan harga emas global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aumas kaut untung bersih RM33.35 juta bagi FY25 didorong kenaikan harga emas global

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 FebAumas Resources Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM33.35 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, naik 2.55% berbanding RM32.52 juta pada tahun sebelumnya. 


Walaupun prestasi operasi meningkat ketara, pertumbuhan ini sebahagian besarnya dikekang akibat pelarasan cukai satu kali bagi tempoh terdahulu yang turut meningkatkan kadar cukai efektif kepada 41.03%.


Bagaimanapun kumpulan itu merekodkan pendapatan RM248.57 juta, melonjak 46.37% berbanding RM169.82 juta bagi FY24, dipacu harga jualan emas purata lebih tinggi iaitu RM435,300 sekilogram.


"Pengeluaran di lombong Bukit Mantri, Tawau, Sabah naik 15.22% kepada 566.42 kilogram, namun kos meningkat 63.31% berikutan tekanan inflasi pada bahan api dan kos buruh," kata Aumas kepada bursa.


Gangguan operasi akibat tindakan sabotaj fasiliti tertentu juga memberikan kesan, tetapi untung sebelum cukai (PBT) kumpulan naik 24.39% kepada RM56.55 juta berbanding RM45.46 juta pada FY24.


Situasi ini jelasnya, mencerminkan keteguhan aset perlombongan emas, dan di sebalik cabaran kos, syarikat tersebut kekal komited memberi pulangan dengan mengisytiharkan tiga dividen interim.


Kesemuanya itu tambah Aumas, berjumlah 4 sen sesaham, yang melibatkan jumlah agihan dividen kira-kira RM72.9 juta bagi tahun kewangan tersebut kepada para pemegang saham kumpulan berkenaan.


"Kumpulan ini mengekalkan kunci kira-kira kukuh dengan baki tunai RM206.31 juta dan tahap gear yang sangat rendah setelah pembayaran balik pinjaman bank secara sistematik dilakukan," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Aumas, Datuk Seri Md Ajib Anuar dalam makluman tersebut menyatakan bagi FY2026, kumpulan akan menumpukan kepada perluasan aktiviti eksplorasi.


Langkah berkenaan diharapkan dapat menambah rizab yang boleh dilombong secara komersial serta meningkatkan kecekapan operasi syarikat melalui pelaburan teknologi dan pelbagai jentera baharu.


Beliau optimis pengoperasian loji pemprosesan baharu berkapasiti 2,000 tan sehari akan memperkukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam mendepani ketidaktentuan pasaran komoditi. - DagangNews.com