KUALA LUMPUR 20 Julai – Astro Malaysia Holdings Bhd menjual sebuah hartanah komersial di Cyberjaya pada harga RM92 juta, melebihi nilai pasaran semasa bagi aset yang tidak lagi digunakan dalam operasi syarikat.
Urus niaga itu melibatkan anak syarikat milik penuhnya, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd yang memeterai perjanjian menjual tanah pegangan bebas seluas 1.82 hektar (4.5 ekar) kepada AIMS Central Sdn Bhd.
AIMS Central ialah anak syarikat milik penuh AIMS Data Centre Holding Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan dalam perkhidmatan maklumat serta pengendalian rangkaian pusat data.
Astro berkata hartanah berkenaan menempatkan sebuah bangunan teknikal enam tingkat bersama beberapa bangunan sokongan, namun ketika ini tidak mempunyai penyewa.
“Harga jualan RM92 juta itu adalah lebih tinggi daripada penilaian bebas sebanyak RM85 juta yang dibuat pada 2 Mac 2026, selain jauh mengatasi nilai buku bersih hartanah berkenaan yang berjumlah RM53.78 juta setakat 31 Januari 2026,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Hasil Jualan Digunakan Untuk Modal Kerja
Astro berkata, pelupusan hartanah itu membolehkan syarikat merealisasikan nilai aset bukan teras yang tidak lagi digunakan dalam operasinya.
“Syarikat dijangka memperoleh hasil bersih kira-kira RM85.7 juta selepas mengambil kira kos berkaitan urus niaga.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan langganan susut, untung Astro menjunam 88% pada suku pertama 2026
“Dana tersebut akan digunakan sebagai modal kerja serta bagi tujuan korporat lain,” katanya.
Pelupusan itu juga dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027.
Langkah tersebut diumumkan ketika prestasi kewangan Astro terus dipengaruhi penyusutan pendapatan daripada perkhidmatan langganan televisyen berbayar.
Keuntungan Bersih Merosot Pada Suku Pertama
Untung bersih Astro Malaysia Holdings Bhd merosot 88% kepada hanya RM1.56 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2026 disebabkan penyusutan pendapatan langganan dan tekanan kos yang menjejaskan prestasi operasinya.
Keuntungan yang amat kecil itu hanya disokong oleh kredit cukai berjumlah RM4.5 juta menunjukkan Astro sebenarnya merekodkan kerugian sebelum cukai bagi tempoh berkenaan.
Prestasi Astro itu mencerminkan tekanan berterusan yang sedang dihadapi perniagaan teras kumpulan ketika industri penyiaran berbayar terus berdepan perubahan landskap yang semakin mencabar.- DagangNews.com








