Anak syarikat Malayan Flour Mills cabar denda RM70 juta MyCCC di Mahkamah Tinggi atas kesalahan kartel dedak ayam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Malayan Flour Mills cabar denda RM70 juta MyCCC di Mahkamah Tinggi atas kesalahan kartel dedak ayam

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb — Anak syarikat milik sebahagian Malayan Flour Mills Berhad (MFM), Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, akan memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi.


Menurutnya, langkah tersebut bagi mencabar denda sebanyak RM70 juta yang dikenakan sebelum itu oleh pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berkaitan dengan kes kartel makanan ayam.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MFM berkata Dindings Poultry, dengan nasihat peguamnya, turut memohon perintah penangguhan interim bagi menggantung sementara penguatkuasaan keputusan.

 

 

 

 

 

 

 


"Ia merangkumi keputusan ditetapkan oleh Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) sementara pihak mahkamah akan membuat keputusan semakan penghakiman tersebut," jelas kumpulan berkenaan.


Tindakan itu dibuat selepas CAT menolak rayuan Dindings Poultry terhadap keputusan MyCC yang mendapati syarikat tersebut terlibat dalam penetapan harga makanan ayam bersama beberapa pengeluar.


Dindings Poultry merupakan antara lima pengilang makanan ternakan tempatan yang didapati bersekongkol dalam menetapkan harga makanan ayam bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.


Secara keseluruhan, pihak MyCC mengenakan penalti yang berjumlah RM415.5 juta, dan merupakan denda paling besar pernah dikeluarkan setakat ini oleh pengawal selia persaingan negara ini.


Empat syarikat, termasuk Dindings Poultry, Leong Hup Feedmill Malaysia, FFM Bhd dan Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd, yang didenda secara kolektif sebanyak RM367 juta, sudah mencabar keputusan MyCC.


Sementara itu, PPB Group Bhd memaklumkan bahawa anak syarikatnya yang dimiliki 80%, FFM, sedang mendapatkan nasihat guaman bagi menentukan langkah seterusnya selepas keputusan tribunal tersebut.

 

 

 

 

 


MyCC sebelum ini menegaskan tribunal bersetuju bahawa syarikat-syarikat terbabit telah menyelaras kenaikan harga makanan ayam, iaitu komponen kos utama dalam industri penternakan.


Keadaan itu memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran dan harga ayam kepada pengguna. 


Tribunal berkenaan turut mengesahkan bahawa penalti yang dikenakan itu adalah selaras dengan Akta Persaingan 2010 dan bersesuaian dengan tahap kesalahan. - DagangNews.com