AirAsia X pilih Bahrain sebagai hab strategik hubungkan Asia ke Eropah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X pilih Bahrain sebagai hab strategik hubungkan Asia ke Eropah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – AirAsia X (AAX) Berhad memilih Bahrain sebagai hab strategik untuk penerbangan jarak sederhana dan jauh bagi menghubungkan Asia, Timur Tengah, Eropah dan Australia.

 

Hab baharu ini akan memperkukuh keterhubungan serantau dan membuka laluan perdagangan, pelancongan dan logistik yang lebih luas.

 

Langkah ini susulan Surat Niat yang ditandatangani pada 3 November 2025 antara Capital A Berhad dan Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain untuk membangunkan Bahrain sebagai hab AAX di Timur Tengah. 

 

Bahrain dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta ekosistem penerbangan mantap, sejajar dengan pelan AAX untuk membina rangkaian global yang bersambung dengan ASEAN dan Asia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata Bahrain adalah antara pelan jangka panjang AAX untuk menghubungkan Asia ke seluruh dunia. 

 

“Fokus kami kini adalah pengembangan armada secara berdisiplin, pengukuhan hab teras, serta pertumbuhan digital dan perkhidmatan tambahan. 

 

“AAX kini mempunyai tempahan pesawat sebanyak 374 unit dan rancangan pertumbuhan lima tahun yang komprehensif untuk terus mengukuhkan jejak di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AAX, Tony Fernandes berkata hab baharu ini membolehkan syarikat menghubungkan Asia dengan Timur Tengah dan Eropah dengan lebih berkesan, sambil menyokong perniagaan kargo dan MRO Capital A.

 

Teleport melancarkan penerbangan pertamanya ke Bahrain selepas berjaya mengumpul AS$50 juta, sebagai langkah memperkukuh Bahrain sebagai hab logistik dan kargo serantau.

 

Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, H.E. Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa pula berkata, pelaburan ini akan memperkukuh Bahrain sebagai pintu masuk utama ke Asia Tenggara dan Eropah.

 

“Secara tidak langsung ini akan mewujudkan pekerjaan dalam operasi penerbangan, serta peluang dalam pelancongan, logistik, perhotelan dan perkhidmatan berkaitan. 

 

“Selain itu, projek ini menyokong pembangunan kemahiran dan laluan kerjaya jangka panjang bagi rakyat Bahrain dalam industri penerbangan global yang berkembang pesat,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang, AirAsia X akan terus memperluas operasi jarak jauh dan hab, disokong oleh peningkatan armada, inisiatif digital serta kerjasama strategik, sambil mengekalkan fokus kepada perjalanan jarak jauh yang berpatutan dan mengukuhkan peranannya sebagai penghubung antara rantau global utama. - DagangNews.com