KUALA LUMPUR 5 Julai – AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah yang dimiliki Capital A Berhad yang kini berstatus Nota Amalan 17 (PN17), memeterai perjanjian bernilai AS$12.25 bilion (RM51.71 bilion) bagi pembelian 50 pesawat Airbus.
Perjanjian tersebut melibatkan tempahan 50 unit pesawat A321XLR milik Airbus, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dalam sidang media lewat Jumaat. Perjanjian ini turut menyertakan hak penukaran untuk tambahan 20 pesawat extra-long-range single-aisle tersebut.
Fernandes berkata perjanjian ini dimeterai ketika kumpulan tersebut kini memberi tumpuan semula terhadap fasa pertumbuhan apabila pelan penyusunan semula syarikat memasuki peringkat akhir.
Perjanjian itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Paris antara Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Commercial Aircraft, Christian Scherer.
“Perjanjian ini mencerminkan keyakinan kami untuk terus mara ke hadapan. Kami mahu memastikan kami mempunyai laluan yang jelas untuk proses penyusunan semula, pengumpulan modal dan mengembalikan semua pesawat kami ke dalam operasi.
"Kami rasa fasa paling sukar telah berlalu, jadi kami mula merancang pertumbuhan sebelum terlepas peluang ini kerana slot pesawat semakin diambil," katanya.
Penghantaran pertama pesawat A321XLR dijadualkan bermula pada 2028, namun Fernandes berharap penghantaran awal boleh dilakukan seawal 2027. Penghantaran dijangka berterusan sehingga 2032.
Setakat ini, jumlah keseluruhan armada AirAsia — termasuk syarikat penerbangan jarak jauh adiknya, AirAsia X Bhd (AAX) — ialah 255 pesawat, merangkumi 227 pesawat lorong tunggal dan 28 pesawat lorong berkembar.
Perjanjian baharu ini menambah kepada jumlah tempahan sedia ada sebanyak kira-kira 360 pesawat keluarga A320 Airbus.
“Tiada perubahan pada tempahan sedia ada kecuali kami mempunyai pilihan untuk menukar 20 unit daripada tempahan sedia ada kepada A321XLR. Ini bermakna jumlah keseluruhan tempahan A321XLR kami ialah 70 unit,” jelas Fernandes.
Beliau turut memaklumkan perbincangan dengan Airbus berhubung tempahan baharu A330 yang melibatkan 15 pesawat.
“Kami akan umumkan apabila tiba waktunya. Kami juga sedang dalam perbincangan dengan dua pengeluar pesawat untuk tempahan sehingga 150 pesawat dan kami jangka akan mendapat keputusannya dalam tempoh sebulan lagi,” katanya, sambil mendedahkan salah satu pengeluar tersebut ialah Comac dari China.
Mengenai pembiayaan untuk perjanjian A321XLR itu, Fernandes berkata AirAsia akan memasuki pasaran bon, selain meneroka pasaran modal dan pembiayaan yang disokong agensi kredit eksport.
“Dua agensi penarafan antarabangsa kini sedang bekerjasama dengan kami. Kami berharap bon pertama dapat dimuktamadkan menjelang Oktober ini,” katanya.
Perjanjian ini hadir ketika Capital A giat melengkapkan pelan penyusunan semula kewangannya bagi keluar daripada status PN17, yang disandang sejak Januari 2022.
Antara komponen utama pelan tersebut ialah penstrukturan semula perniagaan penerbangan, di mana AAX bakal mengambil alih AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dengan nilai RM3 bilion, serta AAB daripada Capital A dengan nilai RM3.8 bilion. Pengambilalihan AAB itu juga akan menyebabkan AAX mengambil alih hutang sebanyak RM3.8 bilion yang ditanggung Capital A kepada AAB.
AAAGL kini mengendalikan perkhidmatan penerbangan penumpang menerusi unit di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.
Sehingga akhir Mac, Capital A mencatatkan jumlah pinjaman sebanyak RM1.47 bilion.
Selain itu, sebanyak RM4.14 bilion lagi dalam bentuk pinjaman, RM16.69 bilion liabiliti pajakan serta liabiliti lain turut disenaraikan di bawah kumpulan liabiliti yang dikaitkan dengan pelupusan perniagaan.
Mengulas lanjut mengenai pelan penyusunan semula Capital A, Fernandes berkata ia kini “hampir selesai”, dan hanya menunggu kelulusan Bursa Saham Thailand bagi pelupusan perniagaan penerbangan tersebut.
“Kami hanya menanti kelulusan daripada Bursa Saham Thailand. Kami sudah ada RM1 bilion modal dan semua surat kebenaran daripada pemiutang telah diperoleh. Jadi, kami kini yakin untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam merancakkan semula pertumbuhan AirAsia,” katanya.
Saham Capital A ditutup satu sen atau 1.18% lebih rendah kepada 84 sen pada Jumaat, dengan nilai pasaran RM3.62 bilion.
Saham AAX pula tidak berubah, kekal pada RM1.62 sesaham, dengan nilai pasaran RM724.26 juta. - DagangNews.com








