AI pemangkin inovasi kewangan Islam, namun cabaran integriti, pematuhan Syariah perlu diperhalusi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AI pemangkin inovasi kewangan Islam, namun cabaran integriti, pematuhan Syariah perlu diperhalusi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt – Kecerdasan buatan (AI) kini dianggap agen perubahan penting dalam transformasi kewangan, namun terdapat cabaran kritikal yang perlu ditangani agar teknologi ini selaras dengan prinsip Syariah dan memberi manfaat sebenar kepada pengguna.

 

Antara cabaran lain ialah ketelusan dan integriti data, keselamatan siber, akauntabiliti serta risiko teknologi.

 

Perkara tersebut antara perkara yang dibincangkan oleh beberapa pakar dalam bidang perbankan Islam dan teknologi kewangan yang hadir ke sesi Forum Kewangan Islam Global 2025 dengan tema “Merevolusikan Kewangan Islam – Peranan Transformasi Kecerdasan Buatan”.

 

Forum anjuran Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) itu menghimpunkan pemikir kewangan dari seluruh dunia bagi membincangkan impak, peluang dan cabaran AI dalam industri kewangan Islam.

 

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali bertindak sebagai moderator dalam forum tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif The Finanser dari United Kingdom, Chris Skinner berkata, industri kewangan kini sedang beralih ke era baharu di mana AI membolehkan keputusan dibuat dengan cepat dan tepat, sekaligus meningkatkan akses dan penyertaan dalam sistem kewangan. 

 

Beliau juga memberi amaran bahawa institusi yang masih bergantung kepada sistem lama berisiko ketinggalan dalam persaingan digital.

 

“Gabungan AI dan teknologi blockchain membolehkan ketelusan yang lebih tinggi serta memudahkan pemantauan perjalanan dana pelaburan, contohnya bagi memastikan wang dalam bon sukuk hijau benar-benar digunakan untuk projek yang dijanjikan.

 

“Pelabur boleh memastikan dana mereka sampai ke projek yang dimaksudkan, sekali gus membina keyakinan dan integriti sistem kewangan Islam,” katanya.

 

t

 

Selain itu, CEO Blade Labs, Sami Aftab Mian dari Qatar pula memperincikan tiga lapisan penggunaan AI: automasi proses, produk AI seperti kontrak pintar Mudarabah dan platform AI untuk mencipta produk kewangan baharu. 

 

Beliau menegaskan bahawa tanpa asas Syariah seperti Isnad dan jejak audit yang jelas, AI boleh menjadi “kotak hitam” yang sukar difahami.

 

“Oleh itu, setiap produk AI dalam kewangan Islam mesti dibangunkan dengan prinsip yang jelas supaya keputusan dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

 

“AI direka untuk meningkatkan kecekapan peranan manusia, bukan menggantikan mereka,” katanya.

 

Pengarah Arabesque dari Singapura, Dr. Qasim Nasar Ullah pula mengingatkan walaupun AI semakin canggih, ketelusan dan kemampuan untuk menjelaskan keputusan masih kritikal bagi membina kepercayaan dalam sistem kewangan Islam.

 

“Model AI mesti boleh dijelaskan supaya pengawal selia dan pengguna memahami bagaimana satu-satu keputusan dibuat,” katanya.

 

Beliau turut merujuk kepada inisiatif antarabangsa seperti prinsip FEAT oleh Monetary Authority of Singapore dan EU AI Act sebagai panduan untuk industri kewangan Islam, membantu menyeimbangkan inovasi dengan akauntabiliti dan pematuhan Syariah.

 

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Silverlake dari Malaysia, Goh Peng Ooi pula menekankan kepentingan integriti data dalam penggunan AI yang semakin meluas ketika ini. 

 

“Dalam konteks kewangan Islam, prinsip seperti Muamalat dan Kafalah berfungsi sebagai mekanisme semula jadi untuk membimbing tingkah laku bertanggungjawab.

 

“Prinsip-prinsip ini boleh dianalogikan dengan struktur pembelajaran dalam AI, yang membolehkan sistem belajar daripada data dan keputusan terdahulu. Ini memastikan AI tidak hanya cekap tetapi juga selamat dan beretika,” katanya. - DagangNews.com