AI dan projek mega Malaysia ubah cara organisasi berkomunikasi, Kelincahan Komunikasi jadi faktor utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AI dan projek mega Malaysia ubah cara organisasi berkomunikasi, Kelincahan Komunikasi jadi faktor utama

Pakar Komunikasi Strategik dan Pengurusan Projek, Zuraida Malek
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 April - AI dan projek mega Malaysia mengubah cara organisasi berkomunikasi, dengan Kelincahan Komunikasi jadi faktor utama, apabila landskap perniagaan kini semakin dipacu kecerdasan buatan (AI), perubahan pantas maklum balas pihak berkepentingan serta peningkatan risiko reputasi.

 

Persidangan Connect & Influence 2026: Corporate Communications in a Shifting World yang berlangsung di The Boulevard St Giles Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini menghimpunkan pemimpin komunikasi korporat, eksekutif syarikat dan pengamal industri bagi membincangkan cabaran komunikasi dalam era digital dan AI.

 

Pakar Komunikasi Strategik dan Pengurusan Projek, Zuraida Malek berkata peranan komunikasi korporat kini tidak lagi terhad kepada penyampaian mesej semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pemacu strategik kepada ketahanan organisasi.

 

Beliau berkata landskap komunikasi hari ini telah berubah secara asas dengan keperluan membuat keputusan lebih pantas, selari dengan perubahan sentimen awam yang berlaku secara masa nyata merentasi pelbagai platform digital.

 

Zuraida yang juga Perunding Prinsipal Zeta M Consulting serta EXCO Public Relations and Communications Association (PRCA) Malaysia berkata perkembangan ini menjadikan komunikasi sebagai fungsi kritikal dalam kepimpinan organisasi moden.

 

Menurut beliau, Malaysia kini berada dalam fasa ekonomi berasaskan projek (project-driven economy) dengan aktiviti pelaburan dan pembangunan yang semakin berkembang merentas sektor.

 

Projek mega pacu keperluan komunikasi lebih strategik

Zuraida berkata data terkini menunjukkan Malaysia meluluskan 8,390 projek pada 2025, nilai pelaburan tertinggi pernah direkodkan iaitu RM426.7 bilion, yang dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan.

 

Jumlah itu meningkat daripada RM384.4 bilion pada 2024, sekali gus mencerminkan pertumbuhan 11% dan menunjukkan momentum kukuh dalam prestasi pelaburan negara.

 

“Apabila projek menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi, komunikasi tidak lagi boleh dianggap sebagai fungsi sokongan. Ia mesti berkembang sebagai disiplin pengurusan strategik yang menyokong penyelarasan, keyakinan dan tindakan pantas,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa banyak kegagalan organisasi bukan berpunca daripada perancangan yang lemah, tetapi disebabkan kelemahan struktur komunikasi dalaman yang perlahan dan tidak fleksibel.

 

“Apabila organisasi terlalu lambat membuat keputusan atau terlalu berlapis dalam kelulusan, kepercayaan akan terhakis dengan cepat,” jelasnya.

 

AI, data dan evolusi komunikasi masa nyata

Dalam sesi berkenaan, Zuraida memperkenalkan kerangka Zeta M 3R Communication Agility Pillars™ yang merangkumi Relevance, Responsiveness dan Resilience sebagai panduan meningkatkan Kelincahan Komunikasi organisasi.

 

Beliau turut memperkenalkan Zeta M Communication Agility Matrix™ yang merangkumi lima dimensi utama iaitu kesedaran situasi, kecerdasan pihak berkepentingan, penyesuaian mesej, kawalan emosi dan pengaruh strategik.

 

Kerangka ini bertujuan membantu organisasi beralih daripada pendekatan komunikasi statik kepada model lebih dinamik yang berasaskan respons masa nyata.

 

Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan organisasi membuat keputusan lebih pantas, meningkatkan kejelasan mesej dan memperkukuh kepercayaan dalam kalangan pihak berkepentingan.

 

AI tidak menggantikan peranan manusia dalam komunikasi

Walaupun AI semakin digunakan untuk mempercepatkan analisis data dan penghasilan kandungan, Zuraida menegaskan bahawa elemen manusia seperti pertimbangan, kredibiliti dan kepercayaan masih tidak boleh digantikan.

 

“AI mempercepatkan komunikasi, tetapi kepimpinan masih diperlukan untuk membuat keputusan yang tepat dan memahami konteks manusia,” katanya.

 

Beliau menambah bahawa masa depan profesion komunikasi akan ditentukan oleh keupayaan untuk menguasai Perception Leadership, iaitu keupayaan memimpin persepsi dengan kredibiliti, kecekapan dan kepercayaan.

 

“Profesional komunikasi perlu berkembang daripada sekadar penyampai mesej kepada pemimpin persepsi,” katanya.

 

Persidangan Connect & Influence 2026 anjuran Interadigm Sdn Bhd itu menjadi platform perbincangan penting mengenai trend, teknologi dan keperluan kepimpinan komunikasi dalam era AI serta transformasi digital yang semakin pesat. - DagangNews.com