40 anak syarikat daripada 5 agensi Persekutuan catat rugi lebih RM2.6 bilion - LKAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

40 anak syarikat daripada 5 agensi Persekutuan catat rugi lebih RM2.6 bilion - LKAN

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Sejumlah 40 buah anak syarikat daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion sepanjang 2023 dengan yang paling tinggi direkodkan ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
 

Berdasarkan kepada Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 yang diterbitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, agensi dana tersebut menerusi 21 syarikat subsidiarinya dikesan mencatatkan kerugian bernilai RM941 juta.
 

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi lima anak syarikat pula ujar dokumen tersebut merekodkkan kerugian berjumlah RM720 juta, diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) yang susut sebanyak RM690 juta melalui empat subsidiarinya.

 

Ini disusuli Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi dua anak syarikat kerugian RM170 juta, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pula mencatatkan kesusutan sebanyak RM140 juta melalui lapan subsidiari.
 

Menurut LKAN lagi, pada 2023, sebanyak 21 subsidiari didapati mengalami kerugian berjumlah RM970.55 juta, terdiri daripada sembilan anak syarikat yang beroperasi di dalam negara, sementara baki 12 subsidiari lagi beroperasi di luar negara.
 

Sementara itu Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi melalui kenyataan susulan laporan tersebut memaklumkan, lima daripada 142 agensi Persekutuan merekodkan liabiliti lebih tinggi berbanding aset mereka sendiri.

 

"Perbandingan antara aset dan liabiliti ini turut mendapati terdapat sebanyak 142 agensi Persekutuan mempunyai aset yang berjumlah RM2.696 trilion berbanding liabiliti mereka hanya sebanyak RM0.871 trilion," jelas beliau.

 

Analisis penyata kewangan itu kata beliau, bertujuan menilai prestasi kewangan agensi Persekutuan terhadap lima perkara iaitu aset dan liabiliti, geran Kerajaan Persekutuan, pinjaman diterima, pelaburan subsidiari serta lebihan atau kurangan semasa.

 

Wan Suraya menambah, sebanyak 98 daripada 142 agensi Persekutuan telah menerima geran berjumlah RM33.628 bilion daripada kerajaan Persekutuan pada 2023 yang terdiri daripada geran pengurusan sebanyak RM16.305 bilion.
 

Geran pembangunan pula katanya, berjumlah RM17.323 bilion dan terdapat sebanyak 97 agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan berjumlah RM21.399 bilion. - DagangNews.com