22 projek sakit di Sabah dalam perhatian tajam kerajaan, kontraktor gagal bakal digugurkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

22 projek sakit di Sabah dalam perhatian tajam kerajaan, kontraktor gagal bakal digugurkan

Satu daripada 22 projek sakit yang diperiksa oleh Kementerian Kerja Raya. - Gambar Sabah Media
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 10 Jun - Isu 22 projek persekutuan di Sabah yang diklasifikasikan sebagai “projek sakit” kini berada pada tahap membimbangkan, dengan kerajaan memberi isyarat jelas bahawa kelewatan berpanjangan tidak lagi boleh diterima dan perlu dihentikan segera sebelum menjejaskan lagi momentum pembangunan negeri.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata keadaan itu mencerminkan kelemahan pelaksanaan di peringkat tertentu yang jika tidak ditangani segera, boleh terus mengekalkan persepsi bahawa Sabah berdepan masalah serius dalam penyampaian projek pembangunan.

 

Beliau menegaskan sudah tiba masanya pendekatan lebih tegas diambil, termasuk tindakan segera terhadap punca utama kelewatan sama ada isu tanah atau kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab.

 

“Sebahagian projek ini tergendala kerana isu tanah, tetapi ia tidak boleh lagi dijadikan alasan berpanjangan. Jika itu puncanya, maka penyelesaiannya mesti dipercepatkan.

 

"Saya tidak mahu Sabah terus dilabel sebagai negeri dengan ‘projek sakit’,” kata beliau, menurut laporan Bernama.

 

Mustapha berkata kelewatan yang berulang, khususnya melibatkan isu tanah dan proses pentadbiran, menunjukkan keperluan kepada mekanisme khas yang lebih pantas dan berkesan bagi memastikan projek tidak terus terperangkap dalam birokrasi.

 

Beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes tertangguh, termasuk di kawasan tumpuan seperti Tawau.

 

Kontraktor gagal: tiada lagi ruang kompromi

Dalam masa sama, beliau memberi amaran lebih keras bahawa projek yang menjadi “sakit” akibat kelemahan kontraktor tidak boleh lagi dipertahankan atau dibiarkan berlarutan tanpa tindakan drastik.

 

“Jika projek ini sakit kerana kontraktor tidak kompeten, tindakan mesti diambil termasuk menukar mereka. Kita tidak boleh terus membiarkan kegagalan berulang,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan agensi pelaksana perlu memperketat proses pemilihan dan pemantauan kontraktor bagi mengelakkan projek berulang menjadi bermasalah.

 

Untuk rekod, sebanyak 83 projek pembangunan telah direkodkan di daerah Tawau, dengan 44 daripadanya bernilai sekitar RM50 juta masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan. - DagangNews.com