KUALA LUMPUR 16 Jun - Syarikat perubatan terkemuka, Novartis Malaysia memenangi anugerah dalam kategori Teknologi Perubatan - Farmaseutikal menerusi penciptaan AXON, alat peramal kejadian kardiak di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2022.
Anugerah anjuran Singapore Business Review yang diadakan buat tahun keempat, mengiktiraf syarikat-syarikat cemerlang yang memberikan sumbangan besar dalam usaha mempelopori inovasi teknologi.
Pengurus Besar dan Presiden Negara Novartis Malaysia dan Brunei, Patrik Grande berkata, mereka berbangga menerima pengiktirafan dalam Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2022.
"AXON adalah sebahagian daripada komitmen kami membayangkan semula dunia perubatan dengan menggunakan sains inovatif dan teknologi digital, lantas menambah baik kesihatan dan melanjutkan jangka hayat rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai platform digital sepenuhnya dalam masa sebenar, AXON meramalkan keputusan klinikal bagi pesakit dalam tempoh setahun selepas menjalani prosedur intervensi koronari perkutaneus (PCI) – yang lebih dikenali sebagai prosedur angioplasti belon.
Di Malaysia, penyakit arteri koronari kekal sebagai punca kematian utama dalam kalangan rakyat Malaysia bagi semua jantina dan kumpulan etnik, menimbulkan beban penyakit yang besar. Salah satu prosedur umum untuk merawat sekatan arteri koronari kompleks dengan angina tidak stabil dan serangan jantung ialah angioplasti belon.
AXON boleh meramalkan kemungkinan pesakit mengalami keputusan klinikal yang mengancam nyawa, sekali gus membolehkan pakar-pakar kardiovaskukar memeriksa pesakit berisiko tinggi tepat pada masanya dan mengesyorkan langkah campur tangan yang diperlukan lebih awal, lantas menambah baik kualiti kehidupan dan keputusan survival.

Projek perintis itu ialah platform berpacukan pembelajaran mesin pertama yang dibangunkan di Malaysia yang boleh meramalkan kejadian kardiak bagi pesakit jantung selepas PCI.
AXON ialah hasil kerjasama unik antara pakar-pakar dalaman pasukan CONEXTS di Pusat Perkhidmatan Global Novartis Kuala Lumpur, yang menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian komersial, saintifik, undang-undang, digital dan perundingan di seluruh organisasi.

Ketua Pusat Perkhidmatan Global Novartis Kuala Lumpur, Akhil Kapoor berkata, pakar-pakar Novartis CONEXTS bekerjasama dengan para profesional penjagaan kesihatan untuk menghasilkan AXON, yang berpotensi untuk mengubah sama sekali amalan perubatan.
“Kami percaya metodologi dan model pembelajaran mesin boleh disesuaikan kepada penyakit lain seperti diabetes, yang dialami oleh 18.3% daripada dewasa Malaysia seterusnya mengurangkan beban ke atas ekosistem penjagaan kesihatan negara ini dengan ketara,” katanya. - DagangNews.com








