Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia agih RM50,000 bagi konservasi beruang madu di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia agih RM50,000 bagi konservasi beruang madu di Sabah

Pitang (kiri) dan Tenom (kanan) ialah dua beruang madu di bawah program rehabilitasi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang ditempatkan di Hutan Simpan Tabin, Sabah
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

SANDAKAN 27 Jun – Usaha konservasi beruang madu di Sabah terus mendapat sokongan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang bekerjasama dengan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) untuk menyelamat dan memulihkan populasi haiwan liar yang semakin terancam itu.

 

Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Nur Fatin Amirah Ahmad Amri berkata, usaha itu membuktikan sektor perladangan sawit bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengeluaran komoditi, malah turut memainkan peranan aktif dalam memelihara biodiversiti dan habitat hidupan liar.

 

Menurut beliau, MPOGCF telah menyumbang RM50,000 kepada BSBCC bagi membantu pelaksanaan program 'soft release' sebagai persediaan sebelum beruang dilepaskan semula ke habitat semula jadinya.

 

Katanya, ketika ini dua ekor beruang yang dipantau ialah Tenom yang telah hidup bebas di Hutan Simpan Tabin selama kira-kira dua tahun serta Pitang yang telah berada di habitat itu sejak setahun lalu.

 

"Pemantauan ini penting bagi menilai kejayaan proses rehabilitasi dan memastikan beruang yang dilepaskan benar-benar mampu hidup secara berdikari di habitat semula jadi.

 

"Kerjasama antara industri sawit, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi konservasi perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan usaha melindungi biodiversiti negara dapat dilaksanakan secara berterusan," katanya ketika media ketika sesi lawatan anjuran MPOGFC ke BSBCC di Sepilok.

 

T
Nur Fatin Amirah

 

Menurutnya, inisiatif seperti itu turut mencerminkan komitmen industri sawit Malaysia dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan memperkukuhkan amalan kelestarian sektor berkenaan.

 

"Tahap kesedaran dalam kalangan syarikat perladangan sawit juga semakin meningkat hasil program advokasi dan pendidikan yang dilaksanakan pelbagai pihak dalam membantu usaha melindungi beruang madu di Sabah," katanya.

 

T

 

 

T

 

Cabaran Dan Kos Tinggi Dalam Usaha Pemuliharaan 

Sementara itu, Pegawai Penyelidikan Alam Sekitar BSBCC, Mohd Haniff Mohd Busrah berkata pusat itu ditubuhkan pada 2008 bagi menyelamatkan beruang madu yang semakin terancam akibat kemusnahan habitat, pemburuan haram serta kegiatan memelihara spesies itu sebagai haiwan eksotik.

 

Menurut beliau, masih terdapat sindiket dan individu yang memburu beruang madu untuk mendapatkan hempedunya yang dipercayai mempunyai nilai dalam perubatan tradisional walaupun dakwaan tersebut tidak disokong bukti saintifik dan pelbagai alternatif perubatan moden telah tersedia.

 

"Kebanyakan beruang yang ditempatkan di pusat ini diselamatkan selepas ditemui di kawasan ladang, hutan atau hasil laporan orang awam sebelum menjalani proses rehabilitasi selama antara tiga hingga empat tahun bagi mempersiapkannya kembali hidup di habitat liar.

 

"Matlamat kami bukan sekadar menjaga beruang, tetapi mengembalikan naluri liarnya supaya ia mampu hidup sendiri apabila dilepaskan semula ke hutan," katanya.

 

T
Mohd Haniff

 

Beliau berkata, proses itu bukan mudah terutama bagi beruang yang dipelihara manusia sejak kecil kerana haiwan tersebut menjadi terlalu jinak dan mempunyai ikatan emosi yang kuat dengan penjaganya.

 

Mohd Haniff berkata, operasi pusat berkenaan memerlukan kos sekitar RM20,000 sebulan bagi menampung makanan, rawatan veterinar dan penjagaan 43 ekor beruang yang kini berada di bawah jagaan BSBCC.

 

"Sebahagian besar kos operasi disokong menerusi sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekali gus membolehkan usaha menyelamat dan merehabilitasi beruang madu diteruskan.

 

"Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan spesies beruang terkecil di dunia itu terus dipelihara dan tidak pupus akibat kehilangan habitat serta aktiviti pemburuan haram. - DagangNews.com