KUALA LUMPUR 27 Jun — Bangunan ikonik Stesen Kereta Api Kuala Lumpur yang berusia lebih satu abad kembali ‘bernyawa’ apabila warisannya dihidupkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selama tiga hari.
Usaha itu menerusi penganjuran 'The Heritage Colours Festival' sehingga 28 Jun 2026 bagi mengembalikan semula mercu tanda warisan negara ini sebagai ruang komuniti yang cukup dinamik secara inklusif.
Inisiatif ini bukan sahaja memelihara nilai sejarah dan seni bina, malah menjadikan aset warisan kereta api negara itu sebagai pemacu kegiatan pelancongan, ekonomi setempat serta penglibatan komuniti.

"Acara bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang itu padat dengan pelbagai aktiviti yang berteraskan seni, budaya dan warisan tempatan untuk kesemua lapisan masyarakat," jelas RAC dalam satu kenyataan.
Pembukaan festival turut diisi Jelajah Warisan KL, yang menghimpunkan pihak berkepentingan bagi meninjau perkembangan usaha pemuliharaan dan pengaktifan kawasan warisan di sekitar stesen itu.
Program khas yang merupakan siri kedua libat urus tersebut selepas penganjuran pertama di Stadium Merdeka itu disempurnakan sendiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.

Ujar RAC, turut hadir ialah wakil pengurusan kanan RAC, Sekretariat Warisan KL, Jabatan Warisan Negara (JWN), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Think City.
"Penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan itu mencerminkan sinergi serta komitmen bersama dalam memperkukuhkan agenda pemuliharaan dan penghayatan warisan negara," tambahnya lagi.
Sepanjang festival tersebut berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai banyak aktiviti termasuk sesi persembahan tarian tradisional, dan busker, jualan vendor tempatan, serta pertandingan mewarna.

Di samping itu jelas RAC, sejumlah reruai kesihatan serta sesi perkongsian oleh badan pemuliharaan berdaftar yang terlibat dalam kerja pemuliharaan bangunan terminal rel tersebut turut diadakan.
Selain itu, aktiviti seni dan kraftangan tradisional seperti canting batik, anyaman bakul, gubahan crochet, permainan tradisional dan tenunan songket bagi memupuk terhadap khazanah budaya negara.
"Pengintegrasian Jelajah Warisan KL menzahirkan komitmen berterusan kami menghidupkan semula aset warisan kereta api negara agar terus signifikan dan memberi manfaat ke atas komuniti," kata agensi itu.

Sebagai antara rangkaian kereta api tertua di Asia, warisan ini bukan sahaja mencerminkan sejarah negara, malah memainkan peranan penting menghubungkan masyarakat dan membentuk identiti Malaysia.
RAC menambah, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur yang dibina pada 1910, kekal sebagai antara bangunan warisan penting di negara ini dengan penganjuran festival itu membuktikan fungsinya masih relevan.
Pada masa sama, perbadanan itu berharap lebih ramai rakyat dapat mendekati sejarah, budaya dan warisan negara melalui pengalaman yang menyeronokkan serta penuh bermakna. - DagangNews.com








