​​​​​​​OSK diunjur kembali kukuh pada FY26 dipacu segmen hartanah dan kredit swasta – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​OSK diunjur kembali kukuh pada FY26 dipacu segmen hartanah dan kredit swasta – HLIB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Jun - Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata tahun kewangan 2026 (FY26) berpotensi menjadi titik perubahan bagi OSK Holdings Bhd untuk mencapai sasaran jualan serta membina trajektori pertumbuhan yang lebih mampan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan berkenaan akan mencatat pertumbuhan kukuh pada FY26, dipacu oleh tiga segmen utama iaitu hartanah, kredit swasta dan kabel.

 

OSK merekodkan keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) suku pertama (Q1) FY26 sebanyak RM136.4 juta, susut 12.2 peratus suku ke suku (QoQ), namun meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun (YoY).

 

“Q1 lazimnya merupakan suku yang lebih perlahan secara bermusim, apabila musim perayaan dan bilangan hari bekerja yang lebih sedikit memberi kesan kepada segmen hartanah, industri dan hospitaliti.

 

Namun begitu, kumpulan memulakan tahun dengan baik apabila mencatat peningkatan 8.8 peratus YoY dalam pendapatan teras,” kata HLIB dalam nota kajian.

 

Menurutnya, peningkatan itu disokong oleh segmen hartanah dan kredit swasta serta sumbangan keuntungan daripada HLIB, namun sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih lemah dalam pembuatan kabel.

 

Jualan pembangunan hartanah mencatat RM173 juta pada Q1, susut 29.4 peratus QoQ dan 16.8 peratus YoY, mewakili 17.3 peratus daripada sasaran jualan penuh OSK sebanyak RM1 bilion.

 

“Bagi hartanah, selepas gagal mencapai sasaran jualan RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut pada FY24 dan FY25, kami percaya kumpulan telah mengenal pasti isu utama serta memperbaharui pasukan pemasaran dan strategi,” kata HLIB.

 

Segmen kabel berdepan tekanan kos

Segmen kabel pula mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.5 juta, meningkat 160.8 peratus QoQ tetapi merosot 55.9 peratus YoY. Walaupun hasil meningkat, keuntungan tahunan terjejas akibat kos pembaikan dan penyelenggaraan sekali sahaja, kos berkaitan pensijilan serta tekanan margin susulan kenaikan harga bahan mentah.

 

HLIB berkata kos luar biasa ini dijangka berkurangan, dengan separuh kedua FY26 berkemungkinan mencerminkan potensi pendapatan asas segmen tersebut dengan lebih baik.

 

Sementara itu, segmen kredit swasta terus menjadi penyumbang utama kumpulan dengan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul lima tahun (CAGR) sebanyak 20.1 peratus dari FY20 hingga FY25.

 

Firma itu menjangkakan segmen tersebut akan terus mencatat pertumbuhan dua digit pada FY26, disokong oleh pengembangan di Australia, pembiayaan motor serta sumbangan baharu dari Singapura.

 

HLIB mengekalkan unjuran dan mengulangi saranan “Beli” ke atas OSK dengan harga sasaran tidak berubah RM2.85, berdasarkan diskaun 5.0 peratus kepada penilaian jumlah bahagian (SOTP) sebanyak RM3.00.

 

“Kami melihat OSK sebagai antara syarikat tersenarai yang mampu mengekalkan pertumbuhan pendapatan yang konsisten dan stabil. Kami percaya saham ini masih mempunyai ruang kenaikan, disokong oleh pertumbuhan pendapatan serta potensi penarafan semula,” katanya.

 

HLIB menambah, peningkatan pengiktirafan pelabur terhadap kualiti pengurusan OSK dan disiplin peruntukan modal boleh membantu mengecilkan diskaun konglomerat saham tersebut. - DagangNews.com