KUALA LUMPUR 29 Jun - Kerajaan Sarawak dijangka mengambil alih sebanyak 79 projek bekalan air yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3.47 bilion bagi mempercepatkan pelaksanaan projek yang sebelum ini mengalami kelewatan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Persekutuan telah memberikan persetujuan secara prinsip untuk memindahkan pelaksanaan projek-projek berkenaan kepada kerajaan negeri, manakala perincian akhir kini sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, Sarawak turut memohon kuasa penuh bagi melaksanakan projek yang dipindahkan itu menggunakan prosedur kewangan dan perolehan sedia ada di peringkat negeri bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lebih cekap.
"Pengambilalihan ini penting bagi menangani kelewatan projek yang telah menjejaskan pembangunan rangkaian bekalan air, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan akses kepada bekalan air terawat," katanya lapor The Star.
Beliau berkata, projek bekalan air Puncak Borneo yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sejak 2016 masih belum dilaksanakan sehingga kini.
Bagi memastikan keperluan penduduk tidak terus terjejas, kerajaan negeri mengambil inisiatif membiayai sendiri pelaksanaan projek berkenaan menggunakan dana Sarawak.
Sistem bekalan air itu kini mampu menghasilkan enam juta liter sehari (MLD) air terawat dan berpotensi dinaik taraf kepada lapan juta liter sehari mengikut keperluan semasa.
Program Grid Bekalan Air Sarawak
Dalam perkembangan berkaitan, Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan kira-kira 360 projek bekalan air termasuk pembinaan loji rawatan air baharu dengan kadar kemajuan keseluruhan mencecah 93%.
Sebanyak RM7 bilion dana kerajaan negeri telah diperuntukkan bagi membiayai projek-projek tersebut.
Beliau berkata, sejak 2018 kerajaan negeri turut melaksanakan Program Grid Bekalan Air Sarawak bagi Kawasan Bermasalah dengan peruntukan awal RM2.8 bilion yang kemudiannya ditingkatkan kepada RM4 bilion melibatkan 304 projek.
Daripada jumlah itu, sebanyak 259 projek atau 85% telah siap, manakala 35 lagi sedang berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Program berkenaan merangkumi kerja menaik taraf 15 loji rawatan air, 42 pam penggalak, 58 tangki air aras tinggi serta pemasangan paip agihan sepanjang 1,969 kilometer.
Hasil pelaksanaan projek tersebut, liputan bekalan air terawat di kawasan luar bandar meningkat kepada 70.5% berbanding 61.9% pada 2018, manakala liputan bekalan air di seluruh Sarawak kini mencapai 85.4%.
Julaihi turut memaklumkan kerajaan negeri sedang melaksanakan program penggantian paip air lama sepanjang 2,742 kilometer dengan kos RM1.08 bilion sehingga 2030 bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
Ketika ini, kadar NRW Sarawak berada pada paras 43% dan disasarkan menurun kepada 25% menjelang 2030 menerusi pelaksanaan program penggantian paip tersebut.
Beliau berkata, permintaan bekalan air di Sarawak dijangka meningkat kepada 2,400 juta liter sehari menjelang 2030 berbanding 2,060 juta liter sehari ketika ini.
Sehubungan itu, negeri berkenaan turut menyasarkan margin rizab kapasiti loji rawatan air sekurang-kurangnya 20% bagi menjamin keselamatan bekalan air dalam jangka panjang. - DagangNews.com








