Taraf saranan TIME diturunkan kepada ‘neutral’ selepas prestasi FY23 di bawah jangkaan – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan TIME diturunkan kepada ‘neutral’ selepas prestasi FY23 di bawah jangkaan – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - RHB Investment menurunkan taraf saranan TIME dotCom Berhad kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM5.90 sesaham berbanding RM6 sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan teras syarikat telekomunikasi terbabit bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 8% hingga 10% selepas melaraskan andaian hasil dan beberapa pengemasan kepada pendapatan pusat data.

 

Firma tersebut melakukan pelarasan tersebut susulan laporan hasil kewangan TIME pada FY23 baru-baru ini yang meleset daripada jangkaannya berikutan pencairan pendapatan berikutan penyahpaduan perniagaan pusat data (DC) dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

 

Menurut RHB Investment, pencairan pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan menyebabkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras FY23 berjumlah RM415.6 juta, hanya merangkumi anggaran tahun penuhnya sebanyak 91%.

 

Pada tahun lepas, TIME telah melupus sebahagian kepentingan dalam anak syarikatnya yang menjalankan perniagaan pusat data, AIMS Data Centre Holding Sdn Bhd dan AIMS Data Centre (Thailand) Ltd (AIMS) kepada DigitalBridge Group Inc dan ia kini menjadi syarikat bersekutu 30% miliknya.

 

Di samping itu, perniagaan jalur lebar gentian (FBB)/peruncitan terus menyaksikan pertumbuhan, disokong oleh pengembangan rangkaian manakala terdapat penurunan hasil dalam perniaggan rumusan lain. 

 

Bagaimanapun, RHB Investment menjangkakan kumpulan itu berdepan tekanan kos berikutan pengembangan rangkaian dan persaingan yang semakin meruncing. 

 

“Kos pemerolehan pelanggan terus meningkat selepas meningkat 17% tahun ke tahun (YoY) pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) (FY23: 8%), mungkin persaingan sengit dalam pasaran selepas perjanjian akses baharu yang ditandatangani pada 4QFY23 (yang menyebabkan penetapan semula harga pakej FBB).

 

“Walaupun pihak pengurusan telah menyatakan rancangan untuk meningkatkan liputan premis gentian melebihi 0.2 juta hingga 0.3 juta setahun, usaha mendapatkan kelulusan/permit yang tepat pada masanya merupakan satu cabaran yang berulang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Setakat 10:17 pagi ini, saham TIME telah susut 6 sen atau 1.1% kepada RM5.24 dengan permodalan pasaran bernilai RM9.7 bilion.  - DagangNews.com