Taraf saranan Bank Islam diturun kepada Under Perform dengan harga sasaran RM2.25 sesaham - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan Bank Islam diturun kepada Under Perform dengan harga sasaran RM2.25 sesaham - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kenanga Research menurunkan taraf saranan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kepada Under Perform daripada Market Perform dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.25 sesaham.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kesilapan pada jangkaan pertumbuhan pembiayaan mungkin meninggalkan beberapa kebimbangan meski pun Bank Islam dijangka mengalami margin faedah bersih (NIM) yang mampan dan kualiti aset yang terkawal dengan baik. 

 

"Selain itu, purata pulangan ke atas ekuit (ROE) di bawah industrinya (8% vs 10%) mengekalkan prospek penilaian yang lebih sederhana," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan saranan Overweight bagi keseluruhan sektor perbankan.

 

"Kami mengunjurkan julat pertumbuhan pinjaman sebanyak 5.5%-6.0% pada CY24, melepasi unjuran KDNK dalaman kami sebanyak 4.5%-5.0% kerana pinjaman isi rumah boleh kekal memberangsangkan. 

 

"Kadar asas semalam (OPR) dijangka berada dalam keadaan mantap pada 3.00% sepanjang CY24.

 

"Dengan pertumbuhan pinjaman yang utuh, tekanan NIM dijangka berkurangan dan dengan kos kredit tidak menjadi kebimbangan yang besar, pelabur mungkin terus berpusu-pusu masuk ke dalam sektor ini," jelasnya.

 

Menurut Kenanga Research, ini terutamanya kepada yang bermodal besar dengan hasil yang mampan.

 

"Untuk 2QCY24, pilihan teratas kami ialah Public Bank (TP: RM5.10) dengan persepsi daya tahan tertinggi terhadap cabaran dengan jangkaan yang lebih cerah untuk hasil yang balik.

 

"Ini diikuti RHB BANK (TP: RM7.25) sebagai peneraju dividen baharu sambil disokong oleh baki CET-1 yang besar, dan ketiga AmBank (TP: RM4.30) untuk asasnya yang terkemuka dan mampan yang mengatasi nama bermodal besar tertentu, walaupun merupakan bank tersenarai terkecil," ujarnya.- DagangNews.com