TA Research 'neutral' terhadap cadangan Malakoff ambil alih 49% kepentingan ekuiti E-Idaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Research 'neutral' terhadap cadangan Malakoff ambil alih 49% kepentingan ekuiti E-Idaman

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - TA Research 'neutral' terhadap cadangan Malakoff Corporation Berhad bagi mengambil alih 49% kepentingan ekuiti E-Idaman Sdn. Bhd. walaupun harganya agak tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemerolehan itu akan meningkatkan pendapatan kumpulan itu serta-merta dan menyediakan peluang pertumbuhan pendapatan di wilayah utara Malaysia.

 

"Kami percaya pengambilalihan E-Idaman berada pada kedudukan yang baik kerana ia tidak menyediakan pegangan kawalan untuk kumpulan dan konsesi 22 tahun bagi  pengurusan sisa di Kedah dan Perlis telah pun tamat bulan lepas.

 

"Pemerolehan Alam Flora menyediakan pegangan kawalan dan mempunyai beberapa tahun lagi konsesi.

 

"Dengan andaian E-Idaman memperoleh lanjutan dalam perjanjian konsesi bagi pengurusan sisa di Kedah dan Perlis, anggaran kami menunjukkan bahawa ia akan menyumbang tambahan 3.4% hingga 3.7% kepada pendapatan sesaham bagi FY23 hingga FY25 kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merancang untuk memperoleh 49% kepentingan ekuiti E-Idaman bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk Kedah dan Perlis.

 

Anak syarikat milik penuh Malakoff, Tuah Utama Sdn. Bhd. membayar tunai RM133.2 juta bagi memperoleh pegangan dalam E-Idaman daripada Metacorp Berhad.

 

Cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada Malakoff untuk mengembangkan pengurusan sisa dan perniagaan perkhidmatan alam sekitar dan mewujudkan tapak yang lebih kukuh dalam landskap industri yang berkembang pesat.

 

TA Research mengekalkan saranan 'beli' denga harga sasaran (TP) 67 sen sesaham.- DagangNews.com