KUALA LUMPUR 28 April - Sunview Group Bhd berkembang ke dalam perniagaan system pemasangan solar aloi aluminium dengan pengambilalihan 20% pegangan dalam Winstar Aluminium Manufacturing Sdn Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sunview berkata anak syarikatnya, Vafe System Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pada 27 April untuk mengambil alih 20% pegangan saham tersebut daripada Chua Nyok Chong pada harga RM12 juta.
Chua kini memiliki 50.54% daripada Winstar, yang terlibat dalam pembuatan, fabrikasi, pemprosesan dan penjualan aluminium, logam dan aloi.
Sunview bekata pengambilalihan Winstar sedang dijalankan melalui kemudahan bank dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata pengambilalihan itu selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mewujudkan ekosistem mampan dalam industri tenaga boleh diperbaharui.
“Selepas pengambilalihan, Sunview akan mempunyai akses kepada sistem pemasangan solar aloi aluminiumnya sendiri melalui Winstar.
Langkah itu akan membolehkan kumpulan itu mengurangkan kebergantungannya kepada pembekal luaran untuk pemasangan pelekap solar aloi aluminium,” ujar beliau.
Hang Ping berkata pembukaan pembukaan semula ekonomi dan peningkatan permintaan untuk panel solar fotovoltaik dalam landskap global telah menyaksikan peningkatan dalam harga aluminium dan produk berkaitan.
“Pengambilalihan Winstar akan membolehkan Sunview mencapai pengoptimuman kos yang lebih baik, diterjemahkan kepada margin keuntungan yang lebih baik dalam jangka panjang,” tambahnya.
Sunview terlibat terutamanya dalam penyediaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan kemudahan fotovoltaik solar. -DagangNews.com








