Subsidi RM1.01 juta Jualan Sejahtera Rakyat beri manfaat 21,953 penerima | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidi RM1.01 juta Jualan Sejahtera Rakyat beri manfaat 21,953 penerima

Perak SADC menyumbang sebuah lori baharu bagi program Jualan Sejahtera Rakyat.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 5 Sept - Sebanyak RM1.01 juta subsidi dibelanjakan bagi menjayakan program Jualan Sejahtera Rakyat sepanjang tahun ini yang dimanfaatkan seramai 21,953 penerima.

 

Program inisiatif kerajaan negeri ini melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

 

Ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen untuk menyokong usaha kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

 

Perak SADC dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu program Jualan Sejahtera Rakyat telah menjelajah 159 lokasi.

 

Perak
Yahanis (kiri) menyerahkan replika kunci lori baharu kepada Ismail (kanan) sambil disaksikan Saarani di pekarangan ibu pejabat Perak SADC di Ipoh.
 

 

Perak

 

 

Program Jualan Sejahtera Rakyat sebelum ini dikenali sebagai Kedai Bergerak Negeri Perak yang dijalankan oleh YBUDR.

 

Menurut kenyataan itu, Perak SADC dan YBUDR terus memperkukuh komitmen dalam membantu golongan sasaran melalui program tersebut.

 

“Terbaharu, penambahan sebuah lori membolehkan inisiatif kerajaan negeri ini diperluaskan ke lebih banyak kawasan di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar. 

 

“Sumbangan Perak SADC ini menjadikan jumlah lori sedia ada iaitu tiga kepada empat buah,” ujar kenyataan tersebut.

 

Penyerahan replika kunci lori Jualan Perak Sejahtera itu disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Dato’ Yahanis Yahya kepada Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR, Dato’ Ismail Saffian.

 

Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.

 

Perak

 

Penambahan lori baharu ini dijangka dapat memperluaskan lagi jangkauan program.

 

Ini membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar menikmati harga barangan keperluan termasuk beras, minyak masak dan ayam segar dengan potongan sehingga 20 peratus.

 

Pelan Perak Sejahtera 2030 mengutamakan agenda Sekuriti Makanan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan berpatutan dapat disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukan.

 

Sementara itu dalam kenyataan sama, Saarani berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi ini memberi manfaat kepada rakyat.

 

“Kerjasama antara Perak SADC dan YBUDR adalah satu lagi langkah positif dalam usaha kerajaan negeri untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat.

 

“Sinergi ini adalah contoh terbaik bagaimana agensi-agensi kerajaan boleh berganding bahu untuk memberi manfaat langsung kepada rakyat pada peringkat akar umbi,” katanya. - DagangNews.com