Solarvest raih kontrak EPCC bernilai RM113.3 juta daripada P Solar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest raih kontrak EPCC bernilai RM113.3 juta daripada P Solar

Gambar hiasan Solarvest
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Sept - Anak syarikat Solarvest Holdings Berhad, Atlantic Blue Sdn. Bhd. (ABSB) memperoleh kontrak pembangunan kemudahan fotovoltaik (PV) 29.99 megawatt (MV) di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) bernilai RM113.3 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Solarvest berkata, ABSB telah menerima surat anugerah (LOA) berhubung projek berkenaan pada 3 September 2024 yang dianugerahkan oleh P Solar Sdn. Bhd. (PSSB)..

 

Katanya, ia berkenaan dengan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) untuk pembangunan kemudahan PV 29.99 MV di tapak yang terletak di Bebar, daerah Pekan Pahang.

 

"Jumlah kontrak projek adalah RM113.29 juta. Berikutan penerimaan LOA oleh ABSB, kedua-dua pihak akan memasuki Kontrak EPCC yang memperincikan butiran penuh terma dan syarat untuk Projek yang dipersetujui dan diterima oleh kedua-dua pihak," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Solarvest diramal mampu raih lebih banyak projek di bawah CGPP - Apex Securities

 

Menurut Solarvest, ABSB akan memulakan pelaksanaan kerja-kerja,selepas penerimaan LOA dan memastikan kerja disiapkan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh penerimaan LOA.

 

"Projek ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan setiap saham Solarvest dan kumpulan syarikatnya untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2025 dan seterusnya sehingga projek selesai.

 

"Syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan LOA dan/atau Projek. Walau bagaimanapun, Syarikat akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku," jelasnya. - DagangNews.com