SKSMC sumbang RM25,000 bantu kanak-kanak hidap penyakit kritikal menerusi Kejohanan Golf Amal Tahunan Make-A-Wish 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SKSMC sumbang RM25,000 bantu kanak-kanak hidap penyakit kritikal menerusi Kejohanan Golf Amal Tahunan Make-A-Wish 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun - Sri Kota Specialist Medical Centre (SKSMC) bekerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan, Make-A-Wish Malaysia untuk menyokong misi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal menerusi penganjuran Kejohanan Golf Amal Tahunan Make-A-Wish 2023.

 

Acara pengumpulan dana tahunan itu sejajar dengan nilai teras hospital dalam perkhidmatan masyarakat. 

 

Menerusi kerjasama itu, SKSMC berharap untuk mencapai lebih banyak lagi dengan memberikan sokongan emosi dan kewangan demi kesejahteraan kanak-kanak berkenaan.

 

Sebagai salah satu penaja utama, SKSMC telah menyumbangkan sebanyak RM25,000 untuk kanak-kanak kurang bernasib baik terbabit.

 

Sementara itu, Penaung Diraja Make-A-Wish Malaysia, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah,  organisasi tersebut berkembang dengan pencapaian yang lebih besar setiap tahun.

 

"Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa penderma seperti Southern Acids (M) Berhad dan SKSMC yang memberi kepercayaan kepada Make-A-Wish Malaysia. 

 

"Walaupun ketika pandemik, Make-A-Wish Malaysia meneruskan misi untuk merealisasikan 160 permintaan tahun ini yang mana sekurang-kurangnya 3 permintaan setiap minggu.

 

"Dengan hanya mempunyai lima kakitangan, tetapi dengan sokongan berterusan, kami yakin dapat menjayakan hasrat untuk mengubah hidup 160 keluarga di seluruh negara," titah Tengku Zatashah.

 

Pengarah Hospital SKSMC, Tan Suet Gan berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkhidmat sebagai penaja utama Kejohanan Golf Amal Make-A-Wish 2023. 

 

"Melalui inisiatif ini, kami ingin menyokong misi Make-A-Wish Malaysia untuk memberikan harapan yang mengubah hidup, kekuatan, dan kegembiraan kepada kanak-kanak terbabit," katanya.

 

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-13 Make-A-Wish Malaysia dan pencapaian mereka dalam pemberian lebih 800 permintaan sejak 2010. - DagangNews.com