KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan memperketatkan tindakan terhadap pihak yang cuba memanipulasi bekalan dan harga beras negara dengan mengenakan hukuman denda berat di bawah Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
Di bawah undang-undang semasa, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 bagi kesalahan pertama dan RM25,000 bagi kesalahan berulang. Bagi syarikat pula, denda maksimum masing-masing ialah RM25,000 dan RM50,000.
Menerusi pindaan baharu, denda bagi individu dicadangkan dinaikkan kepada maksimum RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
Bagi syarikat pula, penalti lebih keras menanti dengan denda maksimum sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan berulang.
Pindaan itu memberi kuasa lebih besar kepada kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan termasuk menyembunyikan bekalan, melanggar peraturan kawalan harga atau mengganggu kestabilan pasaran beras.
Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa mencadangkan supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diberi kuasa menetapkan gred beras serta kawalan harga berdasarkan gred yang ditetapkan.
Beras merupakan barangan kawalan di Malaysia, menjadikan pergerakan, pengedaran dan penetapan harganya tertakluk kepada peraturan kerajaan. Ketika ini, harga runcit maksimum bagi beras putih tempatan ditetapkan pada RM2.60 sekilogram.
Hukuman berat untuk bendung manipulasi bekalan beras
Selain peningkatan denda, pindaan itu turut memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan peraturan berkaitan pelesenan pembeli padi, penetapan gred beras, kawalan harga beras mengikut gred serta mengawal pergerakan padi dan beras di pasaran.
Langkah itu bertujuan memastikan rantaian bekalan beras negara kekal terkawal serta mengelakkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan bekalan dan membebankan pengguna.
Pindaan turut memperuntukkan bahawa pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang ditetapkan di bawah akta itu boleh dianggap sebagai satu kesalahan, dengan hukuman denda sehingga RM15,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan akan dibuat dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 16 Julai ini.
Pindaan itu mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memperkukuh kawal selia industri padi dan beras, termasuk memastikan bekalan makanan ruji negara tidak dieksploitasi oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap pasaran. - DagangNews.com








