Skim galakan penggunaan motosikal elektrik, MARiiCas tawar rebat sehingga RM2,400 | DagangNews Skip to main content

Skim galakan penggunaan motosikal elektrik, MARiiCas tawar rebat sehingga RM2,400

Gambar hiasan
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Skim galakan penggunaan motosikal elektrik, yang dijenamakan sebagai MARiiCas, menawarkan rebat sehingga RM2,400, terbuka kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan tahunan di bawah RM120,000.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan agenda pembangunan secara lestari. 

 

Beliau berkata industri automotif global kini berada di dalam fasa peralihan untuk memperkenal dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan dunia untuk segera mengurangkan pelepasan karbon. 

 

"Peningkatan penggunaan EV di dalam negara dapat mendorong industri automotif tempatan untuk mempergiatkan aktiviti pembangunan dan pengeluaran EV. 

 

"Inisiatif yang menawarkan bantuan dalam bentuk insentif rebat ini adalah bagi membantu memberi keyakinan dan peluang kepada rakyat untuk merasai teknologi motosikal elektrik sebagai medium pengangkutan harian," katanya ketika merasmikan inisiatif berkenaan di sini hari ini.

 

MARiiCas akan diselaraskan oleh MITI dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) selaku agensi pelaksana. 

 

Sesi pelancaran ini turut menyaksikan pengaktifan platform permohonan MARiiCas, yang boleh diakses menerusi laman web insentif.marii.my mulai hari, bagi membolehkan pemohon menyemak kelayakan serta memohon bagi insentif ini. 

 

 

hgfg

 

 

Melalui platform terbabit, pemohon juga boleh mengakses maklumat model-model motosikal elektrik yang ditawarkan serta menyemak kelulusan permohonan. 

 

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, salah satu misi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) iaitu 'Push for Net Zero' telah menggariskan EV sebagai pemacu pertumbuhan utama ekonomi hijau. 

 

"Justeru, pelancaran MARiiCas adalah tepat pada masanya dan MITI percaya inisiatif ini berupaya merancakkan penerimaan rakyat untuk beralih daripada penggunaan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) kepada EV. 

 

"Dari perspektif lain, ia diharap dapat membantu pencapaian sasaran 20% jualan tahunan kenderaan adalah electrified vehicles (xEVs) pada tahun 2030 seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz berkata sehingga kini, sebanyak 11 syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan, melibatkan sebanyak 12 model telah berdaftar dan melepasi syarat kelayakan utama yang telah ditetapkan untuk disenaraikan sebagai syarikat pembekal motosikal elektrik di bawah program ini. 

 

"Syarikat-syarikat ini telah memenuhi kriteria utama dari segi komitmen 
pemasangan secara tempatan, mencapai jarak perjalanan minimum sejauh 100 kilometer bagi setiap pengecasan penuh serta mendapat Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)," katanya. - DagangNews.com