Selangor catat RM5.4 bilion nilai pelaburan projek ICT dari Januari hingga September 2023 – Exco | DagangNews Skip to main content

Selangor catat RM5.4 bilion nilai pelaburan projek ICT dari Januari hingga September 2023 – Exco

KUALA LUMPUR 7 Mac - Sebanyak 75 projek industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan nilai pelaburan RM5.42 bilion diluluskan di Selangor sejak Januari hingga September tahun lalu.

 

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, RM3.27 bilion terdiri daripada pelaburan tempatan manakala RM2.15 bilion adalah pelaburan asing.

 

"Industri ini menyumbang 22% daripada jumlah pelaburan dalam sektor perkhidmatan di negeri ini dengan 4,940 peluang pekerjaan berpotensi diwujudkan," katanya.

 

Ng menjawab pertanyaan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) berhubung sumbangan ekonomi digital kepada prestasi ekonomi dan pelaburan di Selangor ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

 

 

Ng Sze Han
Ng Sze Han

 

 

Beliau berkata, berdasarkan aliran semasa, pelaburan dalam industri terbabit menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak % pada suku pertama 2023 dan terus meningkat kepada 39% pada suku ketiga tahun yang sama.

 

“Pertumbuhan positif itu mencerminkan bahawa sektor ekonomi digital perlu diberi penekanan bagi memastikan perkembangan ekonomi Selangor yang mampan,” katanya.

 

Tambahnya, tumpuan terhadap pembangunan ekonomi digital juga terangkum dalam penyediaan polisi dan pelaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

 

Beliau juga menyatakan bahawa Smart Selangor Delibery Unit (SSDU) ditubuhkan untuk merancang dan melaksanakan inisiatif digital di Selangor bagi merancakkan pembangunan ekonomi digital di negeri itu.

 

“Dengan memanfaatkan teknologi seperti internet benda (IoT), analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI), SSDU menyasarkan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kecekapan dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi memacu ekonomi digital,” katanya. - DagangNews.com