SC, UM, Monash meterai MOU untuk pupuk kesedaran Tadbir Urus Korporat yang Baik dalam kalangan belia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC, UM, Monash meterai MOU untuk pupuk kesedaran Tadbir Urus Korporat yang Baik dalam kalangan belia

Salmah Bee Mohd Mydin (tengah) bersama Profesor Madya Dato’ Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin (kanan) dan Profesor Nafis Alam pada majlis memeterai MOU antara SC, UM dan Monash di Kuala Lumpur pada 18 Ogos 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Universiti Malaya dan Monash University Malaysia untuk bekerjasama dalam beberapa siri program ke arah memupuk pemahaman awal tentang prinsip, amalan dan isu tadbir urus korporat dalam kalangan belia.

 

Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC 2021-2023 (Keutamaan Strategik CG) ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan segmen belia dan menerapkan pemahaman awal dan yang lebih baik tentang tadbir urus korporat.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, SC didorong oleh matlamat yang sama untuk melibatkan dan memperkasa golongan muda dan keperluan untuk menyemai nilai integriti dan akauntabiliti awal dalam kalangan mereka.

 

"Kami berharap usaha bersama ini akan memberi impak berpanjangan dan positif kepada para belia,” kata beliau.

 

Kerjasama ini akan membuka laluan kepada SC dalam penglibatan bersama pelajar dan ahli fakulti, antara lain, melalui syarahan jemputan yang melibatkan pengamal dan pakar industri CG yang bertujuan untuk meluaskan pendedahan pelajar kepada perbincangan dan perkembangan semasa berhubung tadbir urus korporat.

 

Peluang untuk penyelidikan bersama juga akan diterokai, yang hasilnya akan menyumbang kepada pembangunan dasar dan inisiatif strategik SC pada masa akan datang.

 

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UM berbesar hati untuk bekerjasama dengan SC dalam inisiatif ini untuk memupuk penghayatan prinsip tadbir urus korporat dan amalan terbaik yang berkaitan dalam kalangan pelajar.

 

"Kami berharap kerjasama ini akan mendorong pembangunan pemimpin korporat masa depan yang mempunyai pandangan yang kukuh dalam tadbir urus korporat yang baik,” kata beliau.

 

Presiden dan Pro Naib Canselor Universiti Monash Malaysia, Profesor Matthew Nicholson berkata, "Monash komited terhadap pembangunan modal insan di Malaysia, melalui kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan, yang merupakan matlamat yang dikongsi bersama."

 

MOU hari ini ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran SC, Salmah Bee Mohd Mydin, Dekan Fakulti Undang-undang UM, Profesor Madya Dato’ Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Ketua Fakulti Perniagaan Monash, Profesor Nafis Alam. - DagangNews.com